Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Ahad, 30 Jun 2013

Ubat Kurus..

2009..
Aku  : Huihh..udoh kughuih kamu, boy.. [muke kagum]
Boy  : [nyongin(tersengih)..mengekek-ngekek]
Aku  : Kamu makan ape sampei bulih kughuih ni..?
Boy  : Ubat..
Aku  : Ubat ape woii.. heghan aku.. cer kamu kabo.. 
Boy  : [teghuih nyongin.. idok hajabkan(pedulikan) aku..]


2012, februari..
Tun  : Woii.. Mad.. Laju je tu, nok ke mane..?
Aku  : Nok jumpe Boy..
Tun  : Wat peghonjang hape kamu jumpe die ta..??
Aku  : Nok tanye die.. die makan ubat ape.. badan bapak mentilon bulih jadi kughuih. Kawan aku yang gemuk di sane sughuh aku tanye..die pun nok kughuihkan badan..
Tun  : [gelak beso..]
Aku  : Ngape..?? [pelik]
Tun  : Boy tak ade.. Udoh ke dalam..
Aku  : Dalam mane..??
Tun  : Dalam pusat serenti lee.. ngisap dadoh..memang la kughuih hahaha..
Aku  : Puiiihhh.. patut laaa..!!

Sabtu, 29 Jun 2013

Wanita Tua Itu..

jam kurang lebih 12 malam.. pulang dari menonton wayang gambar di teluk intan.. menyangkut di medan selera.. memesan semangkuk sup dan seekor puyuh digoreng berlada.. tanpa nasi.. sambil berkomentar tentang hidup.. kenyang melayan perasaan..

secara tiba-tiba disapa.. seorang wanita tua yang lesu wajahnya.. membawa karung plastik besar berwarna merah pada kiri dan pada kanan lengan.. aneka kerepek terisi di dalamnya.. tanpa diminta.. beberapa bungkus kerepek disusun di atas meja.. wanita tua tidak bersuara.. selain menyebut harga.. 3 bungkus 10 ringgit.. aku ambil sebungkus dan hulurkan not 10 kepadanya.. "cukup.. selebihnya untuk makcik".. wanita tua berlalu tanpa ucapan terima kasih..

wanita tua terus bergerak dari meja ke meja.. kebanyakan masa, kehadirannya tidak dipedulikan..

wanita tua..
memandang susukmu seumpama aku melihat kelibat arwah ibu.. ahhh.. kecamuk fikir mengeluarkan kuku lalu mencakar-cakar jiwaku.. ketuaanmu menyebabkan aku berasakan kau tidak sepatutnya dalam keadaan itu.. keletihan-merayu-berlegar di pasar manusia untuk mempertaruh untung nasib.. di mana anakmu..? 

wanita tua..
pulanglah.. kerana aku bimbang.. kau tidak berkesempatan mengenal waktu rehatmu..

Selasa, 25 Jun 2013

Nak Kurus..

Aku ade kawan. Tinggi die..167cm. Kughang 4 takoh daghi aku. Beghat[berat] badan die idok la beghat beno cume 122 kilo je (?). Umor die beze dalam 8 taun ngan aku. Tapi die sahabat aku. Dulu idok gemok gitu. Sumpah. Sumpah.. aku peghonoh kughuih[kurus], kate di die. Ye la kot. Tapi aku kenei die memang udoh comey gitu laa.. Die dulu kaki bola. Die spotman, bak kate di oghang. Tang ni aku pecaye..sebab kalo main badminton ngan die.. selalu juge aku 'ter'menang ke die.

Die selalu kabo ke aku yang die gemok sebab telebih makan bontot ayam. Dulu.. kate di die laa.. dulu, die gile melantok bontot ayam panggang. Sudohnye.. macam mane bulatnye bontot ayam.. gitu la juga bulat badan die..kate di die juge lee..

Sekaghang ni die azam nok kughuihkan badan. Dapat macam badan kamu pun jadi la Mad, kate di die. Badan aku 80 kilo. Banyok juge nok tughun[turun] tu yak..

Satu haghi yang indoh..
"Mad.. petang ni ngan pagi esok aku ikut kamu joging ye.."
"Tapi saye idok joging haghi-haghi.. saye idok gemo kughuih..jangan buncit je.."
"Habis.. bile kamu joging lagi.. err.. nanti kite main besi ye.. bagi body ketak-ketak sikit..nak..?"
"Pagi Sabtu ni..".

Pagi Sabtu yang sejuk..
Gelap lagi sahabat aku tu tercogok di depan ghumah aku. Semangat. Di depan ghumah aku tu juge la die udoh senam sesikit. Kendian, keme ke stadium ngan keghete[kereta]. Sampei stadium die senam-senam lagi. Punye lame wamap[warm up] die. Silap-silap idok dan nok joging udoh penat. Jangkaan aku betui. Baghu je 3 kali pusin stadium die udoh terjulor lidoh sampei ke dade. Tapi aku tengok die teghuih juge besenam..

Habih senam-senam kat stadium keme ke kedei mamok. Die pesan ghoti[roti] canei kosong dabel. Telor setengoh masok 2 bijik. Teh taghik satu. Ayo kosong satu. Aku tengok kan aje..

Esoknye..
Kawan aku gamit aku. Die bedighi[berdiri] tegok. Pusin badan sesikit.. die senyum-senyum..
"Ngape ni..?", aku bingung.
"Cube ko tengok badan aku..". "Kurus sikit kan..?".
"Errrr...". Ape aku nok jawap..?????? 

Khamis, 20 Jun 2013

TERIMA KASIH..

udoh 300  entri yang aku kongsi ke belog ni.. ngam-ngam.. 300 tu sikit bagi oghang lain tapi banyok yaamat bagi aku.. kengkadang jenuh nok nulih n3.. ade haghi-haghi bodo aku.. bile tibe haghi bodo ta.. hapoh[apa] pun idok jadi..haisshhh.. mungkin lepaih ini aku banyok buat n3 yang pendek-pendek je laa.. kononnn.. huhuhuhu..

tapi betui la kome.. ape yang aku nok ceghiter sume udoh aku tulih.. aku pulok, mun kalo nok nulih mende yang tak de.. idok le gheti[reti] kome.. nok main gheke-gheke[mereka-reka] idok pandei...gamoknye, aku kughang daye imajinasi yak..?  lagipun..ade juge kengkawan[bukan blogger] yang ghajin mace belog aku ni.. asei nipu..deme tau..huhuhu.. peghonoh[pernah] deme komplen woo.. siap tepon.. "woii mad.. yang kamu tulih ta idok tepat.. kot ye pun nok kabe[melindungi] watok sebenor.. usoh la kamu uboh suei melampo-lampo..". haaa... tengok..!

peghonoh sekali.. soghang kawan sanggup datang daghi beghatuih-ghatuih kilomite ke ghumah aku semate-mate nok mintok aku tulih balik kesoh die..."idok tepat", kate die.. "tulih la yang betui-betui.. idok ngape.. aku pun seghonok mace kesoh aku bile kamu tulih..lagi pun, nanti name aku udoh jadi lain.. usin pekak la..jama tonggek laa.. hihihi.."... dan die bukan satu-satunye yang mintok kesoh die ditulih..

teghime kasih juge buat kawan-kawan belog yang sentiase sudi menjenguk 'atasnamaaku'.. sebenonye, kome la kekuatan aku.. TERIMA KASIH.. aku juge idok pasti..sampei bile aku di sini...

NOTA: sekali lagi saya tegaskan bahawa memang cerita-cerita yang saya kongsikan di sini adalah berasaskan kisah sebenar.. 'berasaskan' bermaksud saya mengambil asas cerita itu sahaja.. kemudian diolah semula secara bebas.. tiada menggunakan nama sebenar kecuali yang berkaitan diri sendiri dan sahabat-sahabat terdekat.. kisah berkaitan abah dan arwah mak saya pula adalah manifestasi kerinduan saya terhadap mereka.. harap maklum..


Rabu, 19 Jun 2013

Menziarah Keluarga Kawan.. Penutup


Keesokan paginya, awal-awal lagi atuk Sipa turun dari rumah. Dia membawa jebak dan cangkul. 

"Atuk nak ke mana..?", aku bertanya.
"Atuk ada kerja sikit.. Mad sarapan dulu ye..".
"Atuk aku nak buat tandas la Mad..", Sipa menyampuk dari belakang.

Aku terdiam. Aku betul-betul berasa malu dan bersalah. Aku cuba ingatkan kembali peristiwa semalam. Adakah aku ada mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati mereka. Tapi seingat aku, aku hanya diam sahaja semalam. Mungkin riak gelisah aku diperhatikan. Aku berasa aku sudah menyusahkan keluarga ini. Dalam keadaan itu.. aku bingung memikirkan, apa yang harus aku perbuat. Akhirnya, aku terus turun ke tanah. Aku membantu atuk untuk menggali lubang.

Lubang digali lebih kurang 6 kaki dalam dan berukuran 4 x 3 kaki. Tenaga 3 lelaki gagah seperti aku (erk..!) tentulah akan menyebabkan kerja menggali itu segera siap. Dua batang kayu sebesar betis orang dewasa diletak melintang di tengah-tengah lubang. Aku enggan bertanya. Aku ikutkan sahaja pekerjaan mereka. Pada hujung dan pangkal batang itu pula dipasak supaya batang kayu duduk kemas. Kemudian, sebatang kayu dipacak pada kiri dan kanan lubang. Sebatang buluh diikat pula pada tengah-tengah kayu yang berdiri itu. Siap. Maknanya, kalau kita berhajat .. kita duduk mencangkung di tengah-tengah kayu yang dilintang dan buluh itu sebagai pemegang. Kalau terjatuh..???

Sementara itu, nenek dan adik perempuan Sipa sibuk menganyam daun rumbia. Daun rumbia itu kemudian dijadikan dinding untuk tempat mandi dan 'tandas'. Kami siapkan semuanya sebelum menjelang zohor. Kami berketawa dan berasa cukup puas hati. Aku lihat, nenek dan adik-adik Sipalah yang paling gembira. Atuk Sipa berkali-kali menepuk badan aku. Kemesraan terbina terlalu mudah dan cepat.

"Sepatutnya.. semua ini dah lama atuk buat. Atuk silap. Esok lusa atuk belikan mangkuk tandas tu. Atuk takut Mad tak mahu lagi menjenguk atuk..". "Sipa ada beritahu atuk.. Mad anak orang senang.. Anak manja di rumah.. Tapi kami orang susah Mad.. Ini yang atuk mampu buat.. Mad jangan serik datang sini lagi ye.."...

Aku terkesima..
SEKIAN...

Nota : Masa berlalu, Sipa sudahpun bekerja. Gaji pun agak lumayan. Rumah atuk kini rumah yang paling cantik di kampungnya.. Tahniah Sipa..

Selasa, 18 Jun 2013

Menziarah Keluarga Kawan 3

Kronik. Peluh terasa tersembul-sembul sebesar ibu kaki di muka. Sipa datang bawa sebuah lampu suluh.

"Jom..".
"Ke mana..?".
"Situ..", kata Sipa sambil menyuluh ke arah rumpun buluh yang terletak lebih kurang 30 meter dari rumah.
"Gila.. Nanti radioaktifnya dikesan..".
"Hahaha.. Kami ada pekerja pembersihan yang hebat. Anjing.. ayam yang lapar. Jangan risau.."."Aku temankan engkau..".
"Eh.. tak apa.. Nanti kamu yang pengsan pulak..".
"Hahahaha.. Ok.. aku tunggu sini..".

Aku berlari menuruni anak tangga. Menyerbu ke arah belukar lalu menghala ke rumpun buluh. Sesekali aku terlompat-lompat mengelak anak-anak pokok dan tunggul kayu yang tajam.

Emergency..!
Emergency..!!!

Sesekali Sipa memanggil-manggil nama aku. Barangkali dia bimbang aku pitam kerana senak melampau. Kalau sewaktu pergi tadi aku lincah berlari. Waktu keluar dari belukar itu pula, aku berjalan perlahan terkengkang-kengkang. Agak jauh juga perlu berjalan ke tangki air berwarna biru. Lampu suluh aku padam. Faham-faham aje lah..! 
bersambung...

Isnin, 17 Jun 2013

Menziarah Keluarga Kawan 2

Rumah nenek dan atuk Sipa terbina hampir pada puncak sebuah bukit. Laman rumah hanya sebesar parkir kereta. Itulah sahaja kawasan yang rata. Aku dapat bayangkan betapa susahnya atuk Sipa mencangkul kawasan seluas itu. Rumah itu hanya ada sebuah bilik tanpa daun pintu. Tingkapnya satu.. tanpa daun tingkap. Hanya sehelai kain jarang sebagai penutup. Ada sebidang tikar mengkuang melapik lantai. Di bawah rumah pula tempat tidur kambing. Ada ruang seakan beranda yang agak luas di sebelah tepi rumah itu. Lantai beranda itu diperbuat daripada belahan batang pinang. Beranda mengadap satu kawasan yang ditutupi padi huma/bukit. Ada sebuah perigi buta yang ditinggalkan. Tiada bilik air. Tiada tandas !..

Sumber air dibekalkan oleh sebuah kolam semula jadi di puncak bukit. Paip PVC hitam digunakan untuk membawa air hingga ke sebuah tangki biru yang terletak 15 langkah dari rumah. Airnya sejuk dan tidak pernah berhenti mengalir. Di situ tempat untuk mandi. Papan-papan kecil disusun selari dijadikan sebagai lantai. Tiada berdinding. Air yang melimpah dari tangki biru membentuk seakan parit kecil terus menerjuni bawah bukit yang agak curam.. Hati berasa tenang. Hijau-sunyi-mendamaikan..

Petang itu kami diminta menangkap seekor ayam jantan untuk juadah malam. Puas kami tawaf keliling rumah. Dan ayam itu berjaya ditangkap bukan kerana hebatnya kami, tapi kerana ayam itu seolah-olah menyerah diri kerana kepenatan dihambat. Aku menyembelih ayam itu dengan tangan aku sendiri. Entah apa silapnya, liat sungguh ayam itu keputusan nyawa. Sempat terbang dalam beberapa meter pulak tu..! Tanpa rasa malu, aku cepat-cepat menyalahkan Sipa yang kononnya bercakap waktu ayam itu disembelih. Ada kena mengena ke tu..?

Juadah malam itu.. ulam kacang botol-ikan masin belanak goreng(diperah limau nipis)-ayam goreng dan 'sup ayam'. Kata Sipa itu sup istimewa sukunya. Entahlah. Aku belum pernah melihat dan merasa sup yang hanya direbus dengan sejenis buah hutan yang agak masam dan sewaktu dihidang, segenggam nasi ditabur ke dalamnya. Kalau bukan untuk menjaga hati tuan rumah, tentu sahaja sup itu tidak kusentuh. Sungguh.  Begitu pun..makan aku malam itu 'menjilat pinggan' juga..

Sejam kemudian..
Tiba-tiba perut aku mula meragam. Tapi di sini tiada tandas. Memikirkan itu aku jadi tak keruan. Aku cuba bertahan. Segala teknik yang aku lakukan tidak berkesan. Aku serba tak kena. Duduk-bangun-berjalan. Sakitnya tak mungkin dapat ditahan. Bulu roma di lengan terasa meremang. Ya Allah.. bagaimana ini?? Aku memandang pada gelapnya malam juga pokok-pokok hutan yang hitam tersergam.. bersambung...

Sabtu, 15 Jun 2013

Menziarah Keluarga Kawan

Nota : Buat kamu teman.. terima kasih kerana mengizinkan aku berkongsi pengalaman.. Perit tapi indah, teman..

Aku dan Sipa mengambil sebuah kereta sapu untuk ke kampung halaman Sipa. Sipa banyak mendiamkan diri. Ada juga rasa serba salah di hati, apakah Sipa kurang selesa aku berkunjung ke rumah keluarganya ?. Hendak bertanya, rasanya sudah terlewat..

Kami memasuki sebuah jalan yang bertanah merah. Kereta tersangkut beberapa kali kerana tanah licin dan becak. Semalam hujan lebat di situ. Aneh.. dalam tahun 2000 ini masih ada jalan seperti itu sedangkan kampung Sipa agak ramai juga penduduknya. Mujur pemandu itu agak ramah orangnya. Dialah teman bicara sepanjang perjalanan itu. Sipa masih diam. Mengapa?. 

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam dari pekan kecil yang berdekatan..

"Hmmm.. nenek..", tiba-tiba Sipa bersuara. Segera aku berpaling melihat wajah Sipa yang tersenyum nipis. Seri wajah Sipa bercahaya. "Mad.. itu nenek aku.. Errr.. yang itu rumah kami..". Mata aku menancap susuk perempuan tua berbaju lusuh yang sedang menepuk-nepuk seekor kambing jantan dewasa berwarna putih. Kemudian mata beralih ke arah sebuah rumah yang terlalu daif pada pandanganku. Sebuah rumah yang seakan sebuah pondok menunggu durian di kampung aku. Cuma, ia mungkin tiga kali ganda besarnya. "Yang itu Sipa..??". "Ya.. kenapa..? Kamu tak percaya bukan ??". Aku tersenyum. "Ok la tu..". Ada persoalan dalam kotak fikir yang aku pendamkan. Aku teringat perbualan kami dua minggu yang lalu..

"Kamu dah ke kampung aku 3 kali Sipa.. Ni.. ni.. 3 kali..", kataku sambil menunjuk 3 jari. "Tak kan la aku nak merasa ke rumah kamu sekali pun tak boleh..".
"Aku takut kamu tak selesa, Mad. Aku orang miskin..".
"Aku tak pernah kaya, Sipa.. Aku menghargai orang miskin.. lebih daripada aku menghargai orang yang kaya. Kamu pun tahu aku kan?".

Melihat pada keadaan rumah nenek Sipa, aku mulai dapat memahami diamnya Sipa sepanjang perjalanan tadi. Aku juga mendapat jawapan atas susahnya aku merayu untuk mengikut dia pulang ke kampung tempoh hari. Tapi.. aku ini juga anak kampung yang miskin. Aku betah dengan kesusahan.

Pemandu kereta sapu membunyikan hon secara berirama. Nenek Sipa tersenyum menyambut kedatangan kami. Seorang lelaki tua berseluar kelabu keluar dari pintu bersama dua budak perempuan. Mereka atuk dan adik-adik Sipa. Aku menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada nenek Sipa. Aku hulurkan tangan untuk berjabat dengan atuknya. Tangan yang kasar itu aku cium. Atuk Sipa seakan terkejut. Waktu aku mengangkat kepala, tangan aku masih digenggam.. Atuk Sipa tersenyum dan pandanganya memesrai wajah aku. Sipa ketawa kecil. Sewaktu kami melangkah ke anak tangga yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan itu, Sipa berbisik.., "Mad.. aku pun tak pernah mencium tangan dia. Mungkin engkau orang pertama.. hahaha..". "Ahh.. kamu memang teruk, Sipa.. Esok kamu cium.. pipinya sekali.. err.. kalau perlu, mulutnya juga..!". Spontan Sipa menyiku badan aku. Kami ketawa...   bersambung..

Khamis, 13 Jun 2013

ubat nyamuk..

Kedai Pak Man 'Soda' Kampung Loh:
Arwah Pak Man antara orang tua yang amat mesra dengan aku.. Kadang-kadang hati ini terkenang..

Suatu petang..

"Pak Man.. ade ubat nyamuk..?".
"Tuh.. tepi dindin beloh kanan..", lughuih tangan Pak Man nunjuk ke dindin.
"Iskk.. awok idok bekenan yang gambo ikan ni.. idok hajab[peduli] dinyamuk pun..".
"Mun idok mau yang itu.. kamu ambik yang kat luor tu..", Pak Man selambe.
"Mane Pak Man..?".
"Aikk.. tu sabut nyior tu.. lagi baguih.. Kamu bakor.. Bukan kate nyamuk, oghang pun laghi..".

Aku yang tengoh lagut[leka] mace[membaca] soghat kabo teguih[terus] tesenyum.. Memang Pak Man selalu buat aku tesenyum...


Isnin, 10 Jun 2013

Kambing..[Loghat Perak]

"Kambin-kambin udoh pepak[banyak] kome.. aku nok mawok motu[motor] lelaju pun gayat. Haghi tu nyemah[mujur] idok aku tutuh[langgar] seko.. Haishh.. sape punye kambin tu hah ?", Usin Gagap meleito[membebel] sambei tangan ngaghu[menggaru] pano[panau] beso penampo di lengan. Memang sejok due menjok ni kambin-kambin banyok ngelewor[berkeliaran] kat jalan beso ngale ke Pekan Kaghei. Kambin bighi-bighi kate di deme. Tuan punye kambin ntoh sape idok le deme tawu. Ate.. main lepah lanang[lepas bebas] je pun. Kengkadang penuh ataih jalan ngan deme je. Puloh ekor juge la.. Sebenonye bukan Usin Gagap sensoghang yang maghoh[marah] ke kambin-kambin tu.. ghamei[ramai]. Tapi macam Usin Gagap juge le.. hingor[bising] di belakang je..

"Cer kome usoh gelutkan[sibukkan] kesoh kambin oghang. Yo[biar] nye le.. Bukannye ngaco mengkome pun..", Jenal yang gemor idok bebaju tu menyampuk. "Idok ngaco kate di mike Jenal.. Mun kalo telanggor ngan motu kite..idok haup[binasa] kite Jenal..? Cer mike kabo.. cer mike kabo..". Kembang kempih lubang idung Usin Gagap bile belabun. Getek[menyampah] yaamat die ke Jenal. Ntoh ape baatannye[jadahnya] Jenal gemor beno membela tuan kambin ta.. Pelik Usin Gagap dibuatnye. Keme yang mude-mude petiyekan[perhatikan] aje deme bertengko. Sesekali dengo juge deme mencaghut-caghut[mencarut]. Gamoknye oghang tetue memang gemor mencaghut yak..

Makin haghi makin banyok kambin yang keme nampok ngelewor ataih jalan. Jenuh oghang belabun tentang kambin-kambin tu. Tuan kambin tu pun keme udoh tawu. Tapi memang ngancuk[celaka] punye tuan kambin ta.. nohin je ! Haghi ke minggu, minggu ke bulan, bulan ke taun.. oghang idok belabunkan hei kambin doh. Udoh lugu[jemu] deme. Lantoknye la.. yang penting, bile sampei kawasan kambin-kambin tu..pandei-pandei la pelankan motu pelankan keghete..

...............................................................................................................

Suboh tu, Jenal tepakse nganto[menghantar] anok die ke Pekan Kaghei. Anoknye yang koje kilang tu tetinggei bah[bas] kilang. Bah kilang yang masuk ke kampung keme[kami] satu je. Nok naik bah kilang lain kene la nunggu di Pekan Kaghei . Ate, mau tak mau kene la Jenal nganto anoknye ta. Keadaan masih gelap. Muto cabuk Jenal pulok lampunye teghang sikit daghi pelite minyok gaih. Tapi Jenal kene cepat sampei ke Kaghei. Jenal bawok lelaju..errr.. laju oghang tue laa.. 

Makin lame makin laju. Badan Jenal ngan anoknye begegor. Bukan sebab sejuk tapi sebab di motu tu la.. Udoh macam nok tercabut enjin motu Jenal disebabkan lajunye - kununnye laa.. Sampei ke kawasan kambin-kambin tu ngelewor.. Jenal lupe nok beghingat. Jenal tetap laju. Kambin-kambin tido betabor ataih jalan. Jenal idok nampok... Tetibe Jenal nampok putih-putih ataih jalan. Jenal cube ngelok... Tapi Jenal tebabaih[terbabas] ke tepi jalan. Jenal teghuih[terus] negok meghempuh[merempuh] semok dan tepeghosok dipangkei pokok deghoyan..  Dalam susoh payohnye Jenal bangkit.. Jenal memekik.. "Sape tuan kambin niiiiii...!!!". Jenal kendiannye pitam..

Ahad, 9 Jun 2013

peribadi - catatan 2

Nota : Ini hanya untuk rekod peribadi. Tiada niat selainnya..

Apa yang aku lalui sepanjang 5 bulan ini, kuinsafi sebagai sesuatu yang merugikan. Aku sebenarnya sedang mengundang penyakit. Aku juga membina sifat bermalas-malasan dalam diri. Dan, akulah yang memadam warna-warna dalam hidupku. Nah...! Aku punya pilihan. Memilih untuk menjadi 'sampah' atau kembali bangkit menggilap mutiara hidupku - walau tidak setinggi manapun nilainya.. Sesungguhnya untung nasib diri adalah tanggungjawab sendiri. Memilih yang baik itu adalah amanah..!

Aku perlu bangkit..!

Petang itu.. sebaik bangun dari tidur selepas zohor, aku bingkas bangun. Aku menentang keinginan bermenungan di tilam empukku. Mencapai tuala dan terus membasahkan badan sekadar untuk menyegarkan. Asar setengah jam lagi. Aku ke rak buku. Buku-buku yang belum kubaca, kutarik satu-satu.  Sebuah buku aku letak di kepala katil dan 4 lagi diletak di atas meja studi. Minggu ini mesti aku habisi. Mesti..! 

Seusai solat, aku terus ke laman rumah. Pokok-pokok bonsai yang terbiar aku amati satu-satu. Pudar hijau daunnya menandakan ketidaksuburan. Aku rasa berdosa kerana membiarkan 'mereka' sering lapar dan dahaga. Bukankah pokok-pokok itu juga berjiwa ?. Sebaik aku sirami pokok-pokok itu.. bau tanah meruwap ke udara.. lalu hinggap ke hidungku. Ahh.. baunya menenangkan jiwa. Semut Rangrang bertempiaran memanjat batang pokok juga ke tebing pasu. Gelagat semut-semut itu mengundang senyum. Rangrang itu ada baiknya kerana sedikit sebanyak memelihara pokok dari serangga perosak tapi kalau terlalu banyak, mengancam kesihatan pokok. "Korang sabar dulu.. esok pagi aku halau Rangrang ini dengan kulit-kulit telur.. Sabar dulu..", bisikku pada bonsai-bonsai itu. Aku berasa mereka semua tersenyum !

Tepat jam 6.03 petang aku sudah pun bercekak pinggang di tepi trek balapan stadium. Beberapa orang lelaki dan wanita sudahpun kelihatan berpeluh sewaktu melintas di depanku. Alhamdulillah.. akhirnya aku kembali di sini. Target asal hanya 5 pusingan berjalan laju tapi akhirnya berlarutan ke-10 pusingan.. ya.. seperti 5 bulan yang lalu. Aku sudahi petang itu dengan berlari pecut sekitar 200 meter. Aku sudahi petang itu dengan senyum sendiri. Mengapa begitu lama aku tinggalkan keseronokan ini..?

Malam itu aku berasa lebih bersemangat dan bertenaga. Rutin 5 bulan yang lalu akan aku lengkapkan malam ini. Aku memilih bahan bacaan yang agak ringan - Novel Fiksyen 302 karya Ramlee Awang Murshid - 492 muka surat. Aku terus membaca helaian demi helaian. Teknik dan plot yang dianuti penulis ini tidak sukar dijangka. Lebih 10 buah novel hasil buah tangan penulis ini sudah kubaca. Ini juga membuktikan bahawa Ramlee Awang Murshidlah satu-satunya novelis terkini yang mampu memikat hatiku. Fiksyen 302 habis kubaca ketika jarum jam menunjuk ke angka 3.15 pagi. Sekali lagi aku senyum sendiri..

Kini seminggu telah berlalu.. momentum 'kembali' ini masih mampu aku kekalkan. Malah, kunci blog kesayangan ini juga telah kubuka.. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa...

Ya Allah.. Pulangkanlah aku.. bagai mula..

Sabtu, 8 Jun 2013

peribadi.. catatan 1

2013.. hanya ada satu catatan.. ya.. hanya satu..! Suatu keanehan bagi aku sebaik menjelangnya 2013..Keanehan kerana bermula januari yang lalu aku melupakan/meninggalkan satu demi satu kesukaan dalam rutin aku. Sekurang-kurangnya 4 perkara kesukaan itu. Bermula dengan melupakan pokok-pokok bonsai yang dulu aku belai hampir setiap hari. Kini rimbunnya menjadi bagai gerbang rambut sang hantu. Dan aku tidak berasa apa-apa..

Aku tetap galak membeli buku-buku yang aku rasa aku ingin terokai ilmunya. Berada di atas meja..langsung ke rak-rak buku pabila dilihat mula menyemak ruang. Dan aku terlupa, juga tanpa berasa apa-apa...

Aku suka menulis. Benar, aku sentiasa ingin menulis dan bercerita.. tapi aku kehilangan rasa dan kata-kata. Aku sekadar duduk-duduk bodoh dan membosankan diri. Berjam-jam duduk di sofa di sudut katilku. Ya.. tanpa ada sebarang aksi.. Aku bingung sendiri mengingatkan keanehan itu. Sedikit lama..akhirnya aku tidak berasa apa-apa..

Aku berhenti bersukan. Mendadak. Kawan-kawan memujuk untuk aku kembali. Aku hanya diam. Bersukan dahulunya adalah makanan aku. Malah aku berasa 'kehilangan' jika aku tidak turun ke gelanggang atau setidak-tidaknya mengelilingi stadium untuk satu jam. Dan tiba pada satu fasa, aku bertanya "apa jadahnya hidup aku ini..?"..

Dua minggu yang lalu abah terlantar di hospital. Aku bersama abah. Sewaktu tangan abah aku genggam, kecamuk fikirku timpa-menimpa.. Aku merenung abah bagai merenung diriku. Lemah dan kosong. Kelelahan menyebabkan aku tanpa segan menumpang dahi di sisi katil abah. Abah memegang kepalaku perlahan. Tangannya lembut membelai rambutku. Perlahan abah bersuara, "Mad.. kamu sakit..?". Segera aku dongakkan kepala.. aku tersenyum pahit..