Sebaik sahaja abah mendapat tahu aku jatuh sakit, dia menjadi tidak keruan. Juga turut menjadi sedikit pemarah. Berkali-kali abah keluar masuk rumah tanpa tujuan. Abah ke hulu ke hilir kampung dengan motornya. Abah mencari-cari kalau-kalau terserempak dengan kawan-kawan aku di kampung. Setiap yang dia jumpa, abah akan bertanya, "Ada Samad telefon..? Dia sakit..".
Aku yang serba salah lalu mengambil keputusan untuk pulang menjenguk abah. Aku harap nanti apabila aku berada di depan matanya, dia akan tenang. Memang aku masih sakit. Sangat sakit. Aku sukar untuk bangun, apatah lagi untuk bergerak. Tapi aku lebih bimbangkan Abah. Aku kuatkan semangat. Dua pil penahan sakit aku telan. Kurang menampakkan kesan.. kutambah dua biji lagi. Sakit hilang. Segera aku capai beberapa helai pakaian, sumbat ke dalam beg sandang. Mesti bersegera selagi kesan pil penahan sakit masih ada. Harap-harap aku sempat sampai ke kampung...
********************
********************
Melihat aku yang keluar dari kereta.. Abah seakan terpempan. Langkah Abah laju mendapatkan aku.
"Bukan ke Mad sakit ? Ni boleh pandu kereta pulak ni.. "
"Sikit... Sikit je sakitnya.. Abah sihat ?"
"Kamu yang sakit.. bukan Abah..".
Aku senyum. Kami masih di laman rumah. Aku dapat rasakan bahawa pil yang kutelan semakin 'letih' membantu menahan kesakitanku. Kakak yang sedari tadi asyik memandang dapat menghidu kesakitan yang aku simpan. Dia mengarahkan aku segera masuk ke rumah. Aku minta sehelai kain untuk kupakai. Abah membuka almari pakaiannya..
"Ini kain baru..", aku pandang ke wajah tua Abah.
"Abah meraikan kamu, Mad..", Abah seakan bersenda.
Aku semakin gagal untuk bertahan. Seluruh tubuhku bagai dijalar racun terbisa. Aku tongkatkan tangan pada meja di sisi dinding, kemudian tangan beralih ke bucu meja. Aku genggam dengan kuat. Aku hadapkan muka ke dinding bagi mengelakkan Abah terpandang kerut mukaku yang menahan sakit..
"Mad.. kenapa..??". Abah bersuara bimbang. Aku cuba menjawab tapi kesakitan itu menghalang suaraku.
"Mad.. kamu sakit ke ??..".
"Tak pe.. sikit je ni...". Aku cuba berdalih. Aku perlukan tempat untuk berbaring. Aku... Tetiba suasana menjadi gelap..
Ya Allah..! Mad..!!!!..
Dalam separuh sedar aku mendengar suara abah menangis.. Tangan kasarnya membelai lembut rambutku.. Tadi aku terdengar Abah membisik..
"Mad.. Janganlah susahkan hati Abah.. Kamulah harapan Abah.. Kamulah penghibur hati Abah.. Kamulah anak yang paling Abah sayang...". Perlahan-lahan air dingin mengalir di sudut mataku...
****setahun lebih menanggung sakit.. alhamdulillah, kini aku pulih sepenuhnya..