Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Sabtu, 15 Jun 2013

Menziarah Keluarga Kawan

Nota : Buat kamu teman.. terima kasih kerana mengizinkan aku berkongsi pengalaman.. Perit tapi indah, teman..

Aku dan Sipa mengambil sebuah kereta sapu untuk ke kampung halaman Sipa. Sipa banyak mendiamkan diri. Ada juga rasa serba salah di hati, apakah Sipa kurang selesa aku berkunjung ke rumah keluarganya ?. Hendak bertanya, rasanya sudah terlewat..

Kami memasuki sebuah jalan yang bertanah merah. Kereta tersangkut beberapa kali kerana tanah licin dan becak. Semalam hujan lebat di situ. Aneh.. dalam tahun 2000 ini masih ada jalan seperti itu sedangkan kampung Sipa agak ramai juga penduduknya. Mujur pemandu itu agak ramah orangnya. Dialah teman bicara sepanjang perjalanan itu. Sipa masih diam. Mengapa?. 

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam dari pekan kecil yang berdekatan..

"Hmmm.. nenek..", tiba-tiba Sipa bersuara. Segera aku berpaling melihat wajah Sipa yang tersenyum nipis. Seri wajah Sipa bercahaya. "Mad.. itu nenek aku.. Errr.. yang itu rumah kami..". Mata aku menancap susuk perempuan tua berbaju lusuh yang sedang menepuk-nepuk seekor kambing jantan dewasa berwarna putih. Kemudian mata beralih ke arah sebuah rumah yang terlalu daif pada pandanganku. Sebuah rumah yang seakan sebuah pondok menunggu durian di kampung aku. Cuma, ia mungkin tiga kali ganda besarnya. "Yang itu Sipa..??". "Ya.. kenapa..? Kamu tak percaya bukan ??". Aku tersenyum. "Ok la tu..". Ada persoalan dalam kotak fikir yang aku pendamkan. Aku teringat perbualan kami dua minggu yang lalu..

"Kamu dah ke kampung aku 3 kali Sipa.. Ni.. ni.. 3 kali..", kataku sambil menunjuk 3 jari. "Tak kan la aku nak merasa ke rumah kamu sekali pun tak boleh..".
"Aku takut kamu tak selesa, Mad. Aku orang miskin..".
"Aku tak pernah kaya, Sipa.. Aku menghargai orang miskin.. lebih daripada aku menghargai orang yang kaya. Kamu pun tahu aku kan?".

Melihat pada keadaan rumah nenek Sipa, aku mulai dapat memahami diamnya Sipa sepanjang perjalanan tadi. Aku juga mendapat jawapan atas susahnya aku merayu untuk mengikut dia pulang ke kampung tempoh hari. Tapi.. aku ini juga anak kampung yang miskin. Aku betah dengan kesusahan.

Pemandu kereta sapu membunyikan hon secara berirama. Nenek Sipa tersenyum menyambut kedatangan kami. Seorang lelaki tua berseluar kelabu keluar dari pintu bersama dua budak perempuan. Mereka atuk dan adik-adik Sipa. Aku menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada nenek Sipa. Aku hulurkan tangan untuk berjabat dengan atuknya. Tangan yang kasar itu aku cium. Atuk Sipa seakan terkejut. Waktu aku mengangkat kepala, tangan aku masih digenggam.. Atuk Sipa tersenyum dan pandanganya memesrai wajah aku. Sipa ketawa kecil. Sewaktu kami melangkah ke anak tangga yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan itu, Sipa berbisik.., "Mad.. aku pun tak pernah mencium tangan dia. Mungkin engkau orang pertama.. hahaha..". "Ahh.. kamu memang teruk, Sipa.. Esok kamu cium.. pipinya sekali.. err.. kalau perlu, mulutnya juga..!". Spontan Sipa menyiku badan aku. Kami ketawa...   bersambung..

Khamis, 13 Jun 2013

ubat nyamuk..

Kedai Pak Man 'Soda' Kampung Loh:
Arwah Pak Man antara orang tua yang amat mesra dengan aku.. Kadang-kadang hati ini terkenang..

Suatu petang..

"Pak Man.. ade ubat nyamuk..?".
"Tuh.. tepi dindin beloh kanan..", lughuih tangan Pak Man nunjuk ke dindin.
"Iskk.. awok idok bekenan yang gambo ikan ni.. idok hajab[peduli] dinyamuk pun..".
"Mun idok mau yang itu.. kamu ambik yang kat luor tu..", Pak Man selambe.
"Mane Pak Man..?".
"Aikk.. tu sabut nyior tu.. lagi baguih.. Kamu bakor.. Bukan kate nyamuk, oghang pun laghi..".

Aku yang tengoh lagut[leka] mace[membaca] soghat kabo teguih[terus] tesenyum.. Memang Pak Man selalu buat aku tesenyum...


Isnin, 10 Jun 2013

Kambing..[Loghat Perak]

"Kambin-kambin udoh pepak[banyak] kome.. aku nok mawok motu[motor] lelaju pun gayat. Haghi tu nyemah[mujur] idok aku tutuh[langgar] seko.. Haishh.. sape punye kambin tu hah ?", Usin Gagap meleito[membebel] sambei tangan ngaghu[menggaru] pano[panau] beso penampo di lengan. Memang sejok due menjok ni kambin-kambin banyok ngelewor[berkeliaran] kat jalan beso ngale ke Pekan Kaghei. Kambin bighi-bighi kate di deme. Tuan punye kambin ntoh sape idok le deme tawu. Ate.. main lepah lanang[lepas bebas] je pun. Kengkadang penuh ataih jalan ngan deme je. Puloh ekor juge la.. Sebenonye bukan Usin Gagap sensoghang yang maghoh[marah] ke kambin-kambin tu.. ghamei[ramai]. Tapi macam Usin Gagap juge le.. hingor[bising] di belakang je..

"Cer kome usoh gelutkan[sibukkan] kesoh kambin oghang. Yo[biar] nye le.. Bukannye ngaco mengkome pun..", Jenal yang gemor idok bebaju tu menyampuk. "Idok ngaco kate di mike Jenal.. Mun kalo telanggor ngan motu kite..idok haup[binasa] kite Jenal..? Cer mike kabo.. cer mike kabo..". Kembang kempih lubang idung Usin Gagap bile belabun. Getek[menyampah] yaamat die ke Jenal. Ntoh ape baatannye[jadahnya] Jenal gemor beno membela tuan kambin ta.. Pelik Usin Gagap dibuatnye. Keme yang mude-mude petiyekan[perhatikan] aje deme bertengko. Sesekali dengo juge deme mencaghut-caghut[mencarut]. Gamoknye oghang tetue memang gemor mencaghut yak..

Makin haghi makin banyok kambin yang keme nampok ngelewor ataih jalan. Jenuh oghang belabun tentang kambin-kambin tu. Tuan kambin tu pun keme udoh tawu. Tapi memang ngancuk[celaka] punye tuan kambin ta.. nohin je ! Haghi ke minggu, minggu ke bulan, bulan ke taun.. oghang idok belabunkan hei kambin doh. Udoh lugu[jemu] deme. Lantoknye la.. yang penting, bile sampei kawasan kambin-kambin tu..pandei-pandei la pelankan motu pelankan keghete..

...............................................................................................................

Suboh tu, Jenal tepakse nganto[menghantar] anok die ke Pekan Kaghei. Anoknye yang koje kilang tu tetinggei bah[bas] kilang. Bah kilang yang masuk ke kampung keme[kami] satu je. Nok naik bah kilang lain kene la nunggu di Pekan Kaghei . Ate, mau tak mau kene la Jenal nganto anoknye ta. Keadaan masih gelap. Muto cabuk Jenal pulok lampunye teghang sikit daghi pelite minyok gaih. Tapi Jenal kene cepat sampei ke Kaghei. Jenal bawok lelaju..errr.. laju oghang tue laa.. 

Makin lame makin laju. Badan Jenal ngan anoknye begegor. Bukan sebab sejuk tapi sebab di motu tu la.. Udoh macam nok tercabut enjin motu Jenal disebabkan lajunye - kununnye laa.. Sampei ke kawasan kambin-kambin tu ngelewor.. Jenal lupe nok beghingat. Jenal tetap laju. Kambin-kambin tido betabor ataih jalan. Jenal idok nampok... Tetibe Jenal nampok putih-putih ataih jalan. Jenal cube ngelok... Tapi Jenal tebabaih[terbabas] ke tepi jalan. Jenal teghuih[terus] negok meghempuh[merempuh] semok dan tepeghosok dipangkei pokok deghoyan..  Dalam susoh payohnye Jenal bangkit.. Jenal memekik.. "Sape tuan kambin niiiiii...!!!". Jenal kendiannye pitam..

Ahad, 9 Jun 2013

peribadi - catatan 2

Nota : Ini hanya untuk rekod peribadi. Tiada niat selainnya..

Apa yang aku lalui sepanjang 5 bulan ini, kuinsafi sebagai sesuatu yang merugikan. Aku sebenarnya sedang mengundang penyakit. Aku juga membina sifat bermalas-malasan dalam diri. Dan, akulah yang memadam warna-warna dalam hidupku. Nah...! Aku punya pilihan. Memilih untuk menjadi 'sampah' atau kembali bangkit menggilap mutiara hidupku - walau tidak setinggi manapun nilainya.. Sesungguhnya untung nasib diri adalah tanggungjawab sendiri. Memilih yang baik itu adalah amanah..!

Aku perlu bangkit..!

Petang itu.. sebaik bangun dari tidur selepas zohor, aku bingkas bangun. Aku menentang keinginan bermenungan di tilam empukku. Mencapai tuala dan terus membasahkan badan sekadar untuk menyegarkan. Asar setengah jam lagi. Aku ke rak buku. Buku-buku yang belum kubaca, kutarik satu-satu.  Sebuah buku aku letak di kepala katil dan 4 lagi diletak di atas meja studi. Minggu ini mesti aku habisi. Mesti..! 

Seusai solat, aku terus ke laman rumah. Pokok-pokok bonsai yang terbiar aku amati satu-satu. Pudar hijau daunnya menandakan ketidaksuburan. Aku rasa berdosa kerana membiarkan 'mereka' sering lapar dan dahaga. Bukankah pokok-pokok itu juga berjiwa ?. Sebaik aku sirami pokok-pokok itu.. bau tanah meruwap ke udara.. lalu hinggap ke hidungku. Ahh.. baunya menenangkan jiwa. Semut Rangrang bertempiaran memanjat batang pokok juga ke tebing pasu. Gelagat semut-semut itu mengundang senyum. Rangrang itu ada baiknya kerana sedikit sebanyak memelihara pokok dari serangga perosak tapi kalau terlalu banyak, mengancam kesihatan pokok. "Korang sabar dulu.. esok pagi aku halau Rangrang ini dengan kulit-kulit telur.. Sabar dulu..", bisikku pada bonsai-bonsai itu. Aku berasa mereka semua tersenyum !

Tepat jam 6.03 petang aku sudah pun bercekak pinggang di tepi trek balapan stadium. Beberapa orang lelaki dan wanita sudahpun kelihatan berpeluh sewaktu melintas di depanku. Alhamdulillah.. akhirnya aku kembali di sini. Target asal hanya 5 pusingan berjalan laju tapi akhirnya berlarutan ke-10 pusingan.. ya.. seperti 5 bulan yang lalu. Aku sudahi petang itu dengan berlari pecut sekitar 200 meter. Aku sudahi petang itu dengan senyum sendiri. Mengapa begitu lama aku tinggalkan keseronokan ini..?

Malam itu aku berasa lebih bersemangat dan bertenaga. Rutin 5 bulan yang lalu akan aku lengkapkan malam ini. Aku memilih bahan bacaan yang agak ringan - Novel Fiksyen 302 karya Ramlee Awang Murshid - 492 muka surat. Aku terus membaca helaian demi helaian. Teknik dan plot yang dianuti penulis ini tidak sukar dijangka. Lebih 10 buah novel hasil buah tangan penulis ini sudah kubaca. Ini juga membuktikan bahawa Ramlee Awang Murshidlah satu-satunya novelis terkini yang mampu memikat hatiku. Fiksyen 302 habis kubaca ketika jarum jam menunjuk ke angka 3.15 pagi. Sekali lagi aku senyum sendiri..

Kini seminggu telah berlalu.. momentum 'kembali' ini masih mampu aku kekalkan. Malah, kunci blog kesayangan ini juga telah kubuka.. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa...

Ya Allah.. Pulangkanlah aku.. bagai mula..

Sabtu, 8 Jun 2013

peribadi.. catatan 1

2013.. hanya ada satu catatan.. ya.. hanya satu..! Suatu keanehan bagi aku sebaik menjelangnya 2013..Keanehan kerana bermula januari yang lalu aku melupakan/meninggalkan satu demi satu kesukaan dalam rutin aku. Sekurang-kurangnya 4 perkara kesukaan itu. Bermula dengan melupakan pokok-pokok bonsai yang dulu aku belai hampir setiap hari. Kini rimbunnya menjadi bagai gerbang rambut sang hantu. Dan aku tidak berasa apa-apa..

Aku tetap galak membeli buku-buku yang aku rasa aku ingin terokai ilmunya. Berada di atas meja..langsung ke rak-rak buku pabila dilihat mula menyemak ruang. Dan aku terlupa, juga tanpa berasa apa-apa...

Aku suka menulis. Benar, aku sentiasa ingin menulis dan bercerita.. tapi aku kehilangan rasa dan kata-kata. Aku sekadar duduk-duduk bodoh dan membosankan diri. Berjam-jam duduk di sofa di sudut katilku. Ya.. tanpa ada sebarang aksi.. Aku bingung sendiri mengingatkan keanehan itu. Sedikit lama..akhirnya aku tidak berasa apa-apa..

Aku berhenti bersukan. Mendadak. Kawan-kawan memujuk untuk aku kembali. Aku hanya diam. Bersukan dahulunya adalah makanan aku. Malah aku berasa 'kehilangan' jika aku tidak turun ke gelanggang atau setidak-tidaknya mengelilingi stadium untuk satu jam. Dan tiba pada satu fasa, aku bertanya "apa jadahnya hidup aku ini..?"..

Dua minggu yang lalu abah terlantar di hospital. Aku bersama abah. Sewaktu tangan abah aku genggam, kecamuk fikirku timpa-menimpa.. Aku merenung abah bagai merenung diriku. Lemah dan kosong. Kelelahan menyebabkan aku tanpa segan menumpang dahi di sisi katil abah. Abah memegang kepalaku perlahan. Tangannya lembut membelai rambutku. Perlahan abah bersuara, "Mad.. kamu sakit..?". Segera aku dongakkan kepala.. aku tersenyum pahit..