Catatan ini adalah sebagai memenuhi permintaan abang dan kakakku. Bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.. Maha suci Allah..aku berlindung daripada sifat riak.. Sebaliknya, kami berharap semoga jika ada keturunan Ngah Yakun dan Imam Pasir Garam yang terbaca catatan ini dan mengenali datuk kami, Itam Harun, diharapkan dapat menghubungi kami bagi menjalinkan semula ikatan kekeluargaan yang sekian lama terputus.
Aku.. Abdul Samad b. Jaafar b. Itam Harun b. Ngah Yakun b. Pendekar Ali. Mereka ini keturunan ahli pelayaran suku kaum Batak dari Ambarita, Samosir, Indonesia. Ngah Yakun seorang pawang yang handal, berhijrah ke Tanah Melayu bersama abangnya yang bernama Imam Pasir Garam. Ngah Yakun menetap di daerah Kuala Kangsar manakala abangnya bergerak ke hilir Perak lalu membuka sebuah kampung yang di kenali sebagai Kampung Pasir Garam di daerah Parit, Perak. Daripada keturunan kedua-dua beradik ini, ada yang berhijrah ke Johor lalu keadaan ini telah memisahkan perhubungan kekeluargaan sehingga ke hari ini. Itam Harun adalah salah seorang anak Ngah Yakun yang mewarisi ilmu kepawangan yang begitu ampuh dan berwibawa. Tiada sebarang maklumat yang diperoleh tentang adik beradiknya yang lain.
Datukku, Itam Harun lebih dikenali sebagai Pawang Itam. Kehandalan Pawang Itam menjadi sebutan masyarakat pada zaman itu sehingga sampai ke pengetahuan Al-marhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah (1948-1963) Sultan Perak ke-32 lalu memintanya menjadi ketua Pawang di-Raja, Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar. Jawatan itu dikekalkan pada zaman pemerintahan Al-marhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallah Shah (1963-1984). Walau bagaimanapun, Pawang Itam meninggal dunia pada tahun 1970-an pada usia melebihi 100 tahun. Pawang Itam bukan sahaja handal sebagai seorang pawang, malah terkenal sebagai seorang pendekar.
Antara kehebatan Pawang Itam yang sering diperkatakan :
- mampu bersilat di atas susunan takar yang penuh berisi air tanpa mengocakkan air di dalamnya.
- pernah membelasah sepasukan tentera Jepun yang ingin menangkapnya tanpa menggunakan sebarang senjata.
- dalam keadaan yang terdesak, beliau mampu bergerak dengan sangat cepat ke sesuatu destinasi.
- merawat mangsa ilmu santau dengan mudah. Kununnya, mangsa dibaringkan dan dengan satu jentikan jarinya ke lantai/tanah, mangsa terus pulih.
- merawat orang yang kerasukan cukup dengan hanya meluruskan jari telunjuknya ke arah mangsa sambil berkata " kamu keluar !..". Dengan izin Allah, mangsa akan tersedar..
- masyarakat zaman itu suka berjudi dan melaga ayam. Sekiranya mereka mengetahui bahawa beliau akan datang ke kampung mereka, aktiviti itu akan di'cuti'kan, malah ada yang bersembunyi.
- pada usia genap 60 tahun, semua giginya gugur. Beberapa bulan kemudian, kesemua giginya tumbuh semula. Gigi itu kekal ke akhir hayatnya.
- ahhh.. Cukup lah !
Secara peribadi, aku amat kagum setiap kali orang-orang tua di kampung aku bercerita tentang datukku itu. Walaupun kadang-kadang sukar dipercayai, tetapi kebanyakan mereka mengesahkan bahawa semua yang aku dengar itu adalah benar. Semasa aku kecil dulu, sekiranya aku memperkenalkan diri sebagai cucu Itam Harun, maka orang-orang tua akan segera memeluk dan menciumku. Tindakan itu tentulah menghairankan aku. Namun apabila aku semakin dewasa, tahulah aku.. betapa masyarakat dahulu terlalu menghormati susuk yang mereka gelar Pawang Itam itu.. Wallahhu'alam..