Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Selasa, 31 Ogos 2010

Anakku..Ini tentang air mata ayahmu..


Anakku..Nana-Dhiya-Zaki
Ayah terlupa entah berapa kali ayah mencuba untuk menulis tentang saat2 akhir 'pergi'nya insan yang paling ayah sayang, yakni Opahmu. Benar2 ayah terlupa. Tentu sahaja segala kepedihan-kesayuan-keharuanlah yang seringkali membakar kata2 yang cuba ayah susun. Dan kali ini rasa itu masih juga merona di jiwa. Air mata menjadi murah. Ada getar di dada. Jemari pula terasa gigilnya. Sesungguhnya, bercerita tentang 'kehilangan' itu di luar kemampuan ayah. Dan pastinya catatan ini nanti akan kelihatan 'kaku' namun cukuplah sebagai melepaskan niat ayah untuk 'berkongsi' denganmu..


Anakku..
Opahmu sihat pada hari itu. Hari sebelum itu pun Opah sihat. Opah jarang sakit. Tapi menjelang maghrib itu, lain pula jadinya. Waktu Opah membongkok untuk berwuduk, tidak semena2 darah tersembur dengan banyak sekali dari mulutnya. Opahmu terperanjat. Separuh menjerit Opah panggil Mak Chomu. Opah panggil Atuk. (Di sini ayah kehilangan kata2 untuk menggambarkan ketakutan Opah yang menggeletar tatkala dia melihat limpahan darah-darah hidup di depan matanya dan turut membasahi kain bajunya). Darah melata di setiap inci bilik air itu. Opah bertanya2 kepada Mak Cho. Opah bertanya2 kepada Atuk. Mengapa dengan dia ? Dalam tertanya2 itulah 'serangan' berikutnya berlaku. Opah muntah dengan kuat dan bertalu2. Yang terhambur hanya darah yang hitam dan merah pekat. Darah juga keluar daripada punggung Opah. Dari situ darahnya amat busuk dan kehitaman. Berhelai2 kain batik belum cukup untuk diguna mengelap limpahan darah itu. Tentu sahaja Opahmu tidak sedarkan diri. Opah terkulai. Namun darah2 hidup mengalir terus daripada celah bibirnya.( Ayah tidak pandai untuk menggambarkan keharuan itu..sungguh ayah tidak mampu..! Apa yang berlaku sebenarnya jauh lebih dahsyat daripada yang cuba ayah gambarkan) .


Dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, Opah tetap memuntahkan darah-darah hidup. Opah masih 'membuang' darah-darah kehitaman yang busuk dari punggungnya. Alangkah azabnya Opahmu saat itu...alangkah. Tapi Opah hanya sebentar di Kuala Kangsar kerana kesnya perlu segera dirujuk ke Hospital Besar Ipoh. Ayah dan umi berkejar ke sana. Dan kamu yang masih bayi ketika kami bawa bersama.


Anakku..
Opah disahkan menghadapi penyakit hati yang rosak teruk. Maknanya, hati Opah tidak lagi mampu berfungsi. Kata doktor, darah yang mengalir melalui saraf yang menuju ke hati untuk diproses terhalang/terhenti. Terhenti kerana organ hati Opah sudah gagal menerimanya. Akibat daripada itu, saraf akan mengembang dan terus mengembang sehingga pada suatu tahap saraf itu gagal bertahan lalu meletup. Hasil letupan itulah yang terhambur dari mulut Opah dan terpancut dari punggung Opah. Darah dimasukkan ke tubuh Opah sebagai usaha menggantikan darah yang terbuang. Pakar2 cuba memulihkan saraf2 yang rosak dan pecah. Proses ini berlaku berkali-kali. Namun organ hati tiada teknologi yang mampu merawatnya..


Hari ketiga, Opah kelihatan sihat. Opah tersenyum melihat orang ramai yang mengunjungi. Bukankah Opahmu seorang yang terlalu baik orangnya ? Opah sempat bergurau dengan kami. Bergurau dengan rakan-rakannya yang hadir. Opah mengeluh kerana terpaksa meninggalkan solatnya. Opah juga mengadu tentang rasa malunya kerana dipakaikan lampin . Opah juga tidak mahu berak kencing di atas katil. Opah mahu ke tandas. Atas desakan Opah kami cuba bangunkan dia. Tujuan kami adalah untuk memimpinnya ke tandas. Umimu cuba membantu dengan cara memaut dari arah depan Opah. Belum pun separuh tubuh Opah didudukkan, sekali lagi darah memancut keluar dari mulut Opah. Berhamburan melenjuni baju umimu. Kami tergamam. Opah terkulai dan kaku. Opah terus dikejarkan lagi ke bilik pembedahan...


Anakku...
Pada hari yang kelima, Opahmu dipindahkan dari bilik wad ICU ke wad biasa. Setelah empat hari air mata tidak berhenti mengalir tapi hari ini ada sinar yang membawa harapan. Opahmu terlalu gembira. Wajah Opah berseri-seri. Ayah pula sudah berkira-kira untuk pulang dan menjalankan tugas kerja yang ditinggalkan begitu sahaja. Cuti melebihi tiga hari secara berturut-turut sebenarnya dilarang tapi ayah menerima risiko itu. Biarlah ayah kehilangan kerja daripada meninggalkan Opahmu yang sedang bertarung dengan maut itu. Ayah perlu nyatakan hasrat ayah untuk pulang kepada Opahmu meskipun dengan hati yang amat berat. Apa yang ayah jangka berlaku benar-benar berlaku. Belum pun sempat ayah nyatakan hasrat untuk pulang, Opahmu lebih dahulu merayu supaya ayah jangan tinggalkan dia. Opahmu dengan yakin dan tenang mengingatkan ayah bahawa 'saat berpisah sangat dekat'. Ayah hanya tersenyum dan berikan semangat kepada Opahmu. Ayah pula agak yakin Opahmu akan sembuh. Ayah genggam tangannya. Ayah kucup dahinya dengan sepenuh rasa kasih dan sayang.... " Mak mesti kena kuat mak. Mak mesti lawan sakit mak. Tolonglah mak.. kalau mak tiada, pada siapalah Mad nak bermanja". Kata-kata ini pasti akan ayah ingat sampai bila-bila. Air mata ayah membasahi belakang tangan Opahmu. Dia merenung jauh ke dalam mata ayah dengan satu pandangan yang terlalu luar biasa sayunya. Tapi ayah harus kembali bekerja. Ayah nyatakan lagi dengan kata-kata yang penuh berhati-hati. Belum pun habis ayah meminta izin, Opahmu memusingkan tubuh dan memalingkan mukanya ke luar tingkap yang terbuka. Ayah tidak dipedulikannya lagi. Dapatkah kamu bayangkan kesedihan yang ayah tanggung saat itu ? Tapi ayah harus kembali bekerja..


Ayah tetap dengan keputusan untuk pulang. Namun hanya baru beberapa langkah ayah keluar dari wad itu, Pak Cik Pianmu berlari mendapatkan ayah. Dia kata Opahmu nazak ! Ayah segera berlari ke katil Opahmu dan melihat dirinya yang .... (tak sanggup ayah mengucapkannya). Saat itu ayah berasa.., ayah bagaikan sedang berdiri di atas lumpur yang dalam. Ayah berlari ke sana ke mari merayu supaya Opahmu dibantu segera. Sekali lagi Opah dibawa segera ke bilik pembedahan...


Hari ketujuh, keadaan Opahmu kembali stabil setelah sekurang-kurangnya empat kali melalui keadaan yang nazak. Opahmu mengingatkan ayah tentang tugas yang begitu lama ayah tinggalkan. Dia membenarkan ayah pulang tanpa perlu ayah minta. Memang pun pada hari ketujuh itu dia kelihatan benar-benar sihat berbanding hari-hari sebelumnya. Sepanjang perjalanan pulang ke Sabak Bernam, satu demi satu kenangan bersama Opahmu bermain di fikiran ayah. Air mata yang hampir kekeringan tetap jua berlinang. Sampai di rumah sempat juga ayah melelapkan mata sejam dua sebelum bangun untuk bersiap pergi bekerja. Dalam perjalanan ke tempat kerja, handphone berdering...
" Mad...mak.........", suara Pak Tehmu bergetar...
Seluruh isi alam hilang tiba-tiba....


AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAMAH BONDA YANG SANGAT TERCINTA..


HAJJAH ANJANG MISLAMAH BT PANDAK IBRAHIM















Tiada ulasan: