Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Isnin, 3 Disember 2012

Fred.. Bahagian 2

Fred.. Bahagian 1

5 tahun berlalu ( Januari 2012) :
Ditakdirkan Allah.. aku menjejakkan kaki ke daerah kelahiran Fred. Hendak aku mencarinya aku tidak punya sebarang panduan untuk itu. Dalam hati aku berdoa.. Allah menakdirkan aku ke sini, maka hendaknya biarlah Allah menakdirkan kami kembali bertemu. Aku sebak kerana sentiasa mengingatinya. Bagaimanalah agaknya dia sekarang ?. 

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.. Sebuah motosikal buruk parkir betul-betul di hadapan aku. Penunggangnya berdiri kaku memandang ke wajahku. Pabila helmet dibuka.. Fred !. Sukar digambarkan perasaan aku ketika itu. Ada gembira ada sayu. Dia tidak seperti yang aku lepaskan dulu. Pakaiannya amat lusuh. Raut mukanya menggambarkan keperitan hidupnya. Tubuhnya kurus. Kulitnya gelap. Aku simpankan rasa sedih dalam-dalam di hati. Pertemuan itu pun  terlalu singkat. Kami berjanji untuk bertemu lagi malam itu. "Aku belanja kamu..".

Malam itu aku menunggu Fred. Aku berniat untuk memberikan sedikit sumbangan untuknya. Malah aku bercadang untuk mempelawa Fred kembali ke semenanjung. Aku pasti akan membantunya. Ya.. untuk kali ke-2. Dan kali ini aku akan lebih membantu. Tapi Fred tidak muncul. Aku bingung. Fred tidak punya telefon bimbit. Jadi.. bagaimana ?. Aku terus menunggu. Menunggu hingga ke lewat malam. Berbagai-bagai perkara aku fikirkan. Aku cuba bersangka baik. Namun kecewa tetap mendominasi. Esok sebelum tengah hari aku terpaksa pulang.

Pada esok paginya, aku masih menunggu. Aku terlalu mengharap. Sangat mengharap. Aku bimbang  aku tidak berpeluang untuk bertemu Fred lagi. Aku kecewa Fred mungkir janji. Adakah dia sudah tidak punya rasa kasih seorang adik juga sahabat pada aku. Atau, keluarganya menghalang kerana bimbang Fred dipengaruhi untuk menganuti Islam (seperti yang aku tahu - alasan yang menyebabkan Fred kembali 5 tahun yang lalu)?. Kesilapan aku, aku tidak pun bertanya tentang tempat tinggalnya kelmarin. Fred menoreh getah di bukit belakang rumahnya, itu aku tahu. Tapi di mana rumah Fred ?. 

Tepat jam 10 pagi, teksi datang menjemput aku ke air port. Sepanjang jalan aku tercari-cari kelibat Fred. Aku mengharap terus. Seribu kekesalan dan persoalan menghantui. Di mana kamu Fred ?!!...

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>:

April 2012 :
Sekali lagi aku ke sini - di daerah Fred. Aku nekad untuk mencarinya. Panduannya ialah kilang papan tempat Fred bekerja 7 tahun dahulu. Tempat di mana aku dan Fred berjumpa untuk pertama kali. Apabila masa terluang, aku terus menuju ke kilang itu dengan kereta yang kusewa. Kilang papan itu tetap begitu. Tiada sebarang perubahan. Aku cuba mencari siapa-siapa yang mungkin mengenali Fred. Syukur. Ramai yang mengenalinya. Kebetulan juga, adik Fred yang berusia 17 tahun turut bekerja di situ. Tanpa berbasa-basi aku bertanyakan Fred.

"Abang.. Ituk(panggil untuk Fred) tak dapat jumpa abang malam tu..". Kemudian, dia diam agak lama sebelum menyambung kata. "Ituk terpaksa hantar abang ipar kami ke Tuaran. Memang dia marah sebab bimbang tak sempat jumpa abang. Hujan lebat malam tu. Kami percaya Ituk bawa motor terlalu laju. Dia ada kata, dia tak mahu abang tertunggu-tunggu.. Ituk.. Ituk kemalangan, bang".

"Ya Allah.. Dia bagaimana ?".

"Dia parah. Keesokan harinya, pagi.. Ituk meninggal". Adik Fred mengalirkan air matanya. Aku pula kaget dan berasa begitu sukar menerima berita itu. Sedayanya aku cuba menahan air mata. Aku memeluk erat tubuh adik Fred. Kenyataan ini terlalu pedih..

"Abang.. Ituk terlalu gembira dapat jumpa abang hari tu. Ituk tak putus-putus sebut nama abang. Kata Ituk, abang adalah satu-satunya manusia yang paling baik yang pernah dia ada..". 

Aku kehilangan suara. Sebaik tubuh kuhenyak ke dalam kereta.. aku menangis semahunya.. FRED, AKU SAYANG KAMU..! MAAFKANLAH AKU....

Ahad, 2 Disember 2012

Fred.. bahagian 1

CATATAN PERIBADI YANG TERTANGGUH SEKIAN LAMA..

Yakin aku bahawa Fred[Fredeley] adalah satu-satunya kawan bukan Melayu bukan Islam yang paling rapat dengan aku. Usia Fred baru 18 tahun. Aku lebih tua. Dipanggilnya aku ini 'abang'. Atas dasar simpati kerana kesusahan hidupnya, aku bawa dia tinggal bersama aku. Di sini aku berazam untuk memberi kehidupan baru buatnya. Aku carikan dia kerja yang sepadan dengan kelulusannya yang setakat tingkatan 4 itu. Agak bertuah kerana dia berjaya mendapat kerja yang upahnya agak lumayan.

Untuk bulan-bulan yang pertama, aku sara makan minumnya. Aku belikan 3 helai baju dan sehelai jeans. Aku mengubah penampilannya. Mujur dia terlalu mendengar kata. Aku baiki motor yang begitu lama tersadai. Aku tidak sanggup melihat dia berbasikal ke tempat kerja. Aku siramkan motivasi agar dia kuat dan gigih merubah hidup. Dalam waktu yang sama aku perkenalkan cara hidup Islam kepadanya. Dia begitu tertarik, namun hidayah itu hak Allah. Waktu hari lahirnya, aku hadiahi Fred sebuah gitar yang menjadi kegemarannya. Juga sebuah telefon bimbit. Aku sediakan kek besar untuknya. Malam itu aku melihat air matanya mengalir. Spontan dia memeluk aku. "Abang.. terima kasih.. Ini kali pertama hari lahir saya disambut..".

Hari demi hari kami semakin rapat. Aku menganggapnya seperti adikku sendiri. Kebetulan juga aku tidak punya adik dalam hidup aku. Fred seorang yang tahu menghargai dan menghormati. Tidak pernah membantah. Tidak pernah berasa hati dengan teguran demi teguran yang terkadang agak kasar aku lemparkan. Barangkali Fred faham. Faham bahawa aku ikhlas terhadap dia.

Selepas 2 tahun, suatu hari dia memberitahu aku bahawa dia perlu pulang ke Sabah. Ibu bapanya sangat mendesak. Dan yang paling mengejutkan, dia mungkin tidak kembali lagi ke sini. Aku terdiam. Aku tidak punya hak untuk menghalang. Lalu, dengan hati yang berat aku terpaksa mengizinkannya. Waktu dia berangkat pulang ke Sabah, dia hanya diam. Aku tahu dia kesedihan..

Bersambung..

Jumaat, 23 November 2012

Ragesh..

"Hari-hari kamu mengantuk.. Langsung tak bersemangat kamu.. Jawab soalan saya tadi Ragesh..!".
"Soalan apa cigu..?"
"Tengokk.. soalan pun kamu tak dengar..".
"Sori la cigu.. lori lalu.. banyak bising jugak..".

Memang bangunan sekolah kami hampir benar dengan jalan besar. Kenderaan banyak. Muka hitam berminyak Ragesh nampak kudus. Cikgu praktikal yang kecil molek itu nampak sengaja keraskan suaranya. Kami tahu dia cuba-cuba berlagak garang. Muka cikgu bulat, bibirnya mungil. Tiap kali cikgu mengajar di kelas kami, aku berikan tumpuan sepenuhnya.. err.. tumpuan pada mukanya yang bulat bibirnya yang mungil itulah..

"Kamu bangun sekarang Ragesh !..". Ragesh tak mampu menjawab soalan yang cikgu ulang tanya tadi. Soalan tu susah sangat pun.. Cikgu tak adil.. kesian Ragesh, bisik hati aku. Soalannya : Apakah nama lagu kebangsaan kita? Isskkk.. susah tu !

"Berdiri atas bangku.. Ragesh !". Ragesh garu-garu kepala. Perlahan-lahan memanjat bangku kayu itu. Cikgu memulakan kembali proses pengajaran. Kelas senyap. "Agaknya cikgu gaduh dengan pakwe dia kot", bisik kawan aku. Aku tersenyum. Aku cuba fokus.. errr.. pada muka yang bulat dan bibir cikgu yang mungil itu jugaklah..

Sedang kami asyik menyalin nota yang terpapar di papan putih.. tiba-tiba kami terdengar Ragesh melompat dari bangkunya. Ragseh meluru keluar melalui pintu belakang kelas kami. Lagaknya seperti dikejar hantu. Kami tercengang. Cikgu terpempan. Kami lihat Ragesh susup-sasap berlari ikut pagar. Kemudian dia menghala ke belakang makmal komputer yang terletak betul-betul di tepi pagar. Sah ! kami yakin tentu Ragesh  melompat keluar ikut pagar di belakang makmal itu. Cikgu terus menelefon guru displin. Dia melaporkan kejadian yang tak disangka-sangka itu.

Habislah Ragesh. Tentu esok Ragesh akan dipanggil waktu perhimpunan pagi. Tentu Ragesh akan dihukum berdiri di hadapan semua pelajar. Rotan baya kelengkeng pasti hinggap dipunggung tonggek Ragesh. Makin hitamlah kulit muka Ragesh kerana menahan malu. Macam-macam kami fikirkan. Cikgu pula duduk kebingungan di meja guru...

Tiba-tiba Ragesh muncul di muka pintu depan kelas. Sekali lagi kami tercengang. Sekali lagi cikgu terpempan. Cikgu terus bangun dan berjalan laju ke arah Ragesh. Ragesh hanya tersenyum. Mukanya berpeluh dan berkilat. Sebahagian baju terjulur keluar melalui pinggang seluarnya. 

"Ke mana kamu..?"
"Biawak cigu.. besar..!"
"Apa pulak lepas ke biawak kamu ni..?"
"Betul cigu.. Tadi masa berdiri atas bangku saya nampak besar punya biawak.. sana tipi pagar cigu.."
"Kamu kejar biawak..??"
"Misti la cigu.. Saya punya amma banyak suka cigu.. Bikin sup la cigu.. Itu biawak arr.. saya sudah ikat, sangkut sana pagar cigu.."
"Huhhh..! Berdiri atas meja sekarang..!".

Seluruh kelas ketawa. Cikgu gagal bertahan. Cikgu menutup mukanya dengan buku. Tubuh cikgu bergegar. Dia turut ketawa...

Selasa, 20 November 2012

Rokok Daun Nipah.. Ranting.. Rotan..

Pah(nenek) macam ghamei[ramai] oghang pempuan dedulu juge. Deme gemo[suka] ngisap ghokok. Ape paseinye deme dedulu tu ghamei yang meghokok idok la aku tau. Yang aku taunye, dedulu deme idok gheti[reti/tahu] hukum meghokok. Meghokok idok jadi saloh pade deme. Patut la mase abang-abang aku masok jawi dulu.. lepaih je anu deme kene potong, oghang yang tue-tue ulo[hulur] ghokok mun sebatang due. Kununnye ghokok buat tahan sakit. Mane deme belajo.. kome tanye la deme.. 

Aku selalu tengok Pah isap ghokok. Biasenye Pah isap ghokok daun nipah. Pah lughut-lughut[melurut] daun tu jadi lembut. Bile cukup lembut, Pah buke daun yang tadinye begulung. Pah masukkan tembako sejemput. Kendian, Pah gulung balik.. jadi la ghokok. Pah gune koceh[mancis] api Cap Cili. Bile ghokok disiut[dinyalakan], tembako sambo[menyambar] api. Pah sedut kuat-kuat. Kembang-kempih pipi kedut Pah. Kembang-kempih lubang idung Pah yang mancung. Tapi ghenyang[rimas] isap ghokok daun tu.. nyemedang[selalu] je nok padam apinye. Tu pasei Pah sedut bertubi-tubi.. baghu la lame nyale api kat tembako tu..

Bile aku beso sesikit.. aku pulok tetibe teghingin nok nerey[try/mencuba] ngisap ghokok daun tu. Bile Pah gulung ghokok nipah.. aku pun gulung juge. Pah detok[letak] tembako.. aku idok. Aku isap nipah kosong je. Aku ade terey buboh tembako.. huiiishh.. ghase nok tumpo[mati] aku batuk. Inguih[hingus] meleleh.. telinge ghase macam dipulah. Jadi, isap yang gitu-gitu je la.. Eksen je aku.. Mok idok maghoh[marah].. Aboh idok kesoh.. Kan ghokok nipah je tuh ? Kekadang kalu aku jumpe ghanting kayu yang ade lubang-lubang, aku potong panjang-panjang ghokok. Siut[nyalakan] api.. isap juge macam ghokok. Jumpe batang ghotan yang kecik.. aku balun juge ! Pendek kata, asei jumpe je yang ighap-ighap[iras-iras] ghokok je.. aku balun. Ganaih dok aku ?

Kawan aku lagi handei[pandai].. Die pandei buat paip. Diambiknye buoh pinang, pahtu ataih buoh tu dikorek buat lubang. Lubang tu tempat buboh tembako. Tepi buoh tu pulok dibuat lubang lagi. Lubang tu pulok tempat yang nok disambung ngan buloh kecik. Kan jadi paip tuh ! Beghabih[habis] la keme satu kampong bebudok bebaye[sebaya] keme ngisap paip. Dan seingat aku.. oghang-oghang tue seko[seorang] pun idok melaghang[melarang]... Gamoknye deme menghargai kekeretipan[kekreatifan] keme kot.. hihihi..

Satu haghi.. aku pegi ke ghumoh kawan aku, Padey di kampong Loh/Kuala Karai. Padey duduk ngan Pah die(Allahyarhamah Yang Maimunah bt Mat Arroff). Waktu tu musim buoh tengoh galok[menjadi]. Padey ngajok aku ke dango[pondok] deghoyan die. Elok je lepaih makan deghoyan sebijik due.. Padey pun ngajok aku masok dalam dango. Pelik juge aku.. ape baatan[jadah]nye duduk dalam dango.. di luor kan lebih selese. Idokkk.. didesoknye juge aku masok. Dalam dango, keme duduk besile ngadap sesame keme. Padey ghabe-ghabe[raba] kat dalam bajunye(baju dimasuk dalam seluor). Padey senyum. Padey keluokan sebatang ghokok. Ghokok yang betui-betui. "Winston.. pak sedaghe aku punye.. hihihi..", kate Padey. 

Aku pun tumpang senyum. Senyum jahat aku gamok.. Padey selok poket seluo pulok. Die keluokan 2 batang koceh[mancis] api ngan caghik[cebisan kotak mancis] beleghang daghi kotak kocek api. Ghokok pun menyale. Padey isap pelan-pelan.. Padey telan asap tu.. pahtu keluo ikut kedue lubang idungnye.. Wahh.. aku kagum ! Padey isap lagi.. Isap lagi.. sampei tinggei sepaghuh. " Huii.. Syok..!!", kate Padey sambei ngoyin[tersengih] yang idok putuih-putuih. Aku pun tumpang syiok dok memasei. Padey ulo[hulur] ghokok ke aku. Aku seghobe saloh. Aku idok peghonoh ngisap ghokok yang betui-betui. Padey sue lagi.. aku pun sambor.. Aku sedut sikit.. Pait[Pahit]. Isap lagi sikit.. lagi sikit.. Kepala ghase penin.. Mate kelemanyo[kabur].. Baghu aku nok nyando ke dinding dango..

"Baammmm..!!!"
"Betuoh punye budok.. Kome meghokok engkohnye yak..!! ".

Pah Padey ghemban[baling] keme ngan kayu. Nasib kene dinding dango. Mun kene ke kepale.. Pitam woo.. Aku meloncat[melompat] ikut tingkap, teghuih laghi masok dalam semok. Punye la takut tuhan je la yang tau. Padey pun laghi juge.. ke mane.. aku pun tak tau. Dan sejok haghi tu la.. aku langsung idok beghani ke ghumoh Padey.. Ya.. sampei ke haghi ini !..

SEKIAN

Ahad, 18 November 2012

Jumpe kawan lame..

Entri panjang khas buat sahabat-sahabat yang dikasihi : Padey Zamri, Megat Aniruddin, Hafizi dan Zulkapli

Mandi lame-lame. Sabun ke ujung kaki.. Gosok gigi sampei sakit gusi.. Sempo[shampoo] ghambut 2 kali.. Bukan nok ke mane-mane pun..cume, haghi ni nok jumpe kawan-kawan lame. Habih mandi, dighi[berdiri] depan ceghomin beso.. tepuk peghut tige pat kali.. Huh !! Macam bunting 2 bulan.. Aku doa dalam ati.. mintok-mintok kawan-kawan aku pun buncit ghope aku juge.. Kalo idok menanoh telinge ke sindior[sindir]..

Janji jumpe jam 10 pagi.. Sekaghang udoh jam 10 la.. Kakok pulok nyughuh[suruh] aku kukor[parut] nyor 6 bijik. Jangan dehake.. kukor nyor tu dulu.. 10.30 pagi keghoje kukor mengukor siap. Tuko baju yang palin lawa.. Nok jumpe kawan lame mane bulih pakei koman-koman.. kene la tunjuk sikit.. aku macam kome juge.. Ade kemajuan !!..[Uuweekk..!!]. Jam 10.40 aku udoh setat injin keghete. Hmm.. janji pukui 10.. beghansor[bertolak] daghi ghumoh 10.40.. memang aku bepegang pade janji !!.. Tunggu kome.. aku pecut sekaghang...

10.50 sampei Pekan Kaghei. Padey(Zamri), kawan yang palin lame idok aku jumpe ghentung[rentung] nunggu aku di situ. Sekali pandang je die udoh cam kan aku. Gamoknye muke aku masih ghope dulu.. Aku tughun keghete lelaju.. angkat tangan tinggi-tinggi.. mintok maap betubi-tubi ataih tepatnye 'janji Melayu' aku. Peluk Padey sekali. Padey gelok je.. Ghase macam keme idok peghonoh bepisoh pun.. Mesghe[mesra] dan ghamoh macam dedulu. Kughang hajo keme pun same !!.. Belum nyempat nok jemput, Padey udoh tecogok dalam keghete aku.. Idok bertangguh keme ke Kuale Kangso pulak. Yang lain nunggu keme di sane..

Keme kumpui di Restoran Syed. Megat Aniruddin yang cadang ke situ. Ah ! Mane satu pulok la kedei tu.. jenuh ngelewor[merayau] satu kuale idok jumpe. Lah-lah Megat ambik keme. Nampok sangat Kuale udoh asing bagi aku. Ati aku ghase ade bunge-bunge. Seghonok yaamat-amat dapat jumpe kawan mase sekoloh menengoh dulu. Megat makei kopiah putih tinggi. Tajam di puncok. Sekali pandang macam ghoti tisu mamak aku tengok. Badan Megat bulat comey sebijik mase bebudok dulu. Die oghang baik. Aku yakin beno yang itu. Tapi Megat sakit. Sakit buoh pinggang. Tengok bengkok benkei kat lengan Megat, aku sedih..

Padey lagut[asyik] belabun. Tokeh ayam memang gitu gamoknye yak. Hapizi muke comeynye juge macam dulu. Muke baik. Udoh pangkat beso dalam MDSB.. errr.. betui ke tu..?? Zulkapli udoh ghope M Nasir aku tengok. Die ade kilang perabut. Megat cekgu.. Dengor kabonye pandei nangkap gambo.. Aku pulok tukang dengo.. Deme sembang hei mengaei[memancing] ikan.. aku soh[diam]. Deme belabun tentang sipat 20.. aku soh. Deme belabun pulok tentang kamera.. aku soh. Iskk.. ghase aku tengin[bodoh] bebeno bile dengo deme belabun.. Sumenye aku idok beghani nok campor.. Pengetahuan aku zero.. 

Keme kenang-kenangkan balik jaman sekoloh dulu. Aku ghalat sebab banyok sangat yang aku lupe. Keme ceghiter juge tentang kawan-kawan yang lain. Engkohnye ada bebeghape oghang yang udoh meninggei. Yang udoh masuk Tanjung Ghambutan pun ade.. Haisshh.. ! Si polan beceghei.. Si polan kawen lain.. Memacam. Keme banyok ketawe. Selogho keme macam selogho jaman bebudok dulu. Mase tu keme lupe kejap beghape umo keme. Aku dapat rasakan bahawa inilah makna persahabatan yang unggul. Dan, sewaktu memandu pulang aku berkata pada diri bahawa.. "Persahabatan yang terikat oleh keikhlasan.. Cahayanya tak kan terpadam..