Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Selasa, 24 Ogos 2010

sahabat aku yang satu ini..ANJANG


Sebenarnya aku pernah menulis tentang sahabat aku yang seorang ini dalam buku peribadi aku yang bertajuk "ATASNAMAAKU" secara panjang lebar. Tulisan dalam bentuk cerpen itu menceritakan segala2nya. Masih aku ingat, betapa gelaknya anak sulung aku ketika membacanya. Dan aku katakan bahawa dia adalah antara sahabat yang terbaik pernah aku ada. Sesungguhnya, sahabat yang baik sering datang dan pergi. Biarpun hilang namun di hati di ingatan masih ada. Tidaklah aku menduga dia turut menulis tentang aku... Di sini di ruang maya ini teringin pula aku menitipkan secara ringkas apa yang pernah aku ceritakan dalam cerpen itu. ( semua yang terkandung dalam blog ini sebenarnya adalah sinopsis daripada buku peribadi aku)

Petang itu di depan blok K12E, aku melepak bersama beberapa orang kawan sambil berborak kosong. Aku agak terganggu sewaktu mendengar suara yang agak lunak sedang bernyanyi sambil memetik gitar dari arah bilik yang setentang dengan tempat kami berkumpul itu. Suara yang cukup asing tp menyenangkan. Pilihan lagu yang dialunkan sesuai benar dengan suaranya. Aku bangun dan duduk di tangga yang benar2 hampir dengan tingkap bilik itu sambil mendengar sungguh2 sehingga dia menghabiskan lagu "Bukan Kerana Nama" itu. Kami saling bertanya. Tiada yang tahu. Dia memulakan lagu yang berikutnya. Terlucut kesabaran aku disentap jari ingin tahu. Aku mengintai dari celahan bilah kaca tingkapnya. Mujur ada ruang langsir yang tersingkap. Di situ aku lihat seorang yang berwajah serabut duduk bersila di atas katil sambil memetik gitar. Tuala kuning berbelang putih tersingkap ke pangkal peha tanpa dipeduli. Bernyanyi dengan penghayatan. Aku tidak kisah semua itu. Aku juga penyanyi jalanan. Aku ceritakan pada yang lain. Menjelang maghrib waktu aku melangkah masuk ke blok untuk kembali ke bilik, kami berselisih. Aku masih ingat, senyum aku tidak berbalas. Dia melangkah panjang memanjat tangga menuju ke bilik air di tingkat atas blok. Di tangan tergenggam bekas sabun merah dan berus gigi kosong dicepit di gigi. Itu yang pertama kali...

Sejak itu aku cuba mencari peluang untuk berkawan dengan dia. Dan aku benar2 terlupa bagaimana proses itu berlaku kerana sedar2 kami sudah pun bersahabat. Barangkali wujud pemangkin rohani yang melarutkan persahabatan itu. Perlu aku akui bahawa meskipun dia adalah sahabat terakhir yang aku temui di UKM dahulu, namun dia menenggelamkan kawan2 lain yang terlebih dahulu aku kenal. Lagipun, manakan sama antara sahabat dengan kawan. Dengan cepat dia berdiri sebaris dengan sahabat2 aku yang lain iaitu Maon, Awie, Amran, Fadil dan Ajies. Inilah hakikat. Malah dalam sesetengah perkara dia mendahului yang lain. Biar aku ceritakan secara selayang pandang di sini....

Suatu malam aku keputusan duit. Aku kelaparan. Sejak petang aku isi perut aku dengan air kosong sahaja. Tiba2 dia muncul di muka pintu. Bila dia tahu aku kelaparan, dia memperlihatkan simpatinya. Tak bertangguh dia hilang entah ke mana dan datang semula setengah jam selepas itu dengan sehelai not 5 ringgit di tangannya. Dia berhutang untuk aku. Masyaallah... Pernah kami berdua kelaparan di tengah malam kerana kami keputusan duit lagi. Maka apa pilihan kami ? Kami selongkar sana sini. Tilam diterbalikkan. Tiada hasil. Katil pula diangkat. Terjumpa 20 sen. Kami senyum lebar. Kami ketawa besar. Hanya itulah yang ada. Kami meluru ke bilik aku pula. Perkara yang sama kami lakukan. Dengan segala susah payah mengangkat itu ini, akhirnya syiling 10 sen jatuh bergolek. Nah cukup 30 sen. Kami pakai baju kami salin seluar , kami segera ke Bandar Baru Bangi menuju ke stesen minyak Shell dan membeli sebungkus Maggi kari di situ. Mi Maggi di bahagi dua. Kami makan dengan penuh selera. .. Pernah juga dia marahkan aku. Reaksi marahnya dizahirkan agak keterlaluan. Aku bingung mencari salah aku. Dan punca itu masih aku belum temui sehinggalah pada saat ini, dalam usia tuaku ini...

Pada suatu Jumaat aku berkunjung ke biliknya. Kami bercerita tentang hidup. Kami bercakap tentang mati. Juga tentang kesilapan dan kegagalan. Kami menyesali itu ini. Tiba2 aku tersedar yang kami terlewat ke masjid untuk solat jumaat. Apa lagi, kelam kabut bersiap dan berlari ke masjid yang terletak 200 meter dari blok kediamannya. Sebaik sampai ke anak tangga pertama masjid, jemaah rukuk dan bersujud. Aku pandang muka dia. Dia pandang aku. Serentak kami berlari keluar. Langkah dibuka sepanjang2nya. Kami berlari sekali ganda lebih laju daripada larian kami semasa datang tadi.. Aku sempat melihat beberapa orang jaga yang menjaga tempat letak motosikal ketawa melihat kami. Sampai di bilik, kami ketawa bagai nak gila. Kami kadang2 memang gila pun....

Suatu perkara yang sangat aku kesalkan apabila mengenangkan sahabat aku yang satu ini ialah, aku tidak pernah berpeluang membalas kebaikan dia terhadap aku. Malah aku gagal memperlihatkan sikap sebagai sahabat kepada dia. Dan kadang2 aku terfikir, andainya aku masih bersahabat rapat dengan dia pada hari ini pun, mungkin juga peluang itu tidak akan ada kerana dia memang cepat menabur jasa. Anjang..terima kasih kerana menjadi sahabat yang baik. Kebaikan dan keluhuran persahabatan akan aku kenang selamanya..insyaallah.

1 ulasan:

anjang berkata...

Mad terharu aku membaca apa yang engko tulih...ada part aku ketawa, ada part yang rasa nak menitik ayor mate.... kenangan terindah aku dan samad