Baru saja aku nak melabuhkan punggung kat sofa di bilik aku... telefon berbunyi...
"Mad.. batu karang aku datang balik.. tak jadik ni.. Aku nak pegi rumah bomoh batu karang kat Batu 38 tu la.. "
"Bila nak pegi..? "
"La ni le.. Mintak ko bawakkan aku boleh ? "
"Aku baru sampai dari kampung ni yeop.. Beri aku lima minit .. melepaskan hajat nak berehat.. " " Ko bersiap la.. jap lagi aku datang.. "
Aku basuh muka dan salin baju yang baru kemudian terus memandu ke rumahnya. Waktu aku sampai, dia baru saja lepas muntah dengan banyak. Muka kawan aku tu pucat dan lemah. Ajak ke klinik dia tak mau. Nak jugak ke rumah bomoh tu. Katanya dia dah pun 'call' bomoh tu tadi. Aku ikutkan saja lah...
Isterinya dah pun menyiapkan sebotol air mineral, seikat daun sirih dan sebekas kapur. Benda itu lah yang aku serahkan pada bomoh bila kami sampai ke rumahnya. Kawan aku nampak lemah. Bomoh minta izin untuk terus merawat. Aku pulak mintak kebenaran bomoh tu untuk melihat kaedah rawatannya. Sayang sungguh... aku tak bawak pulak kamera... kalau tak, boleh jugak aku sertakan dalam catatan ni.
Bomoh melakukan 'scan' pada badan kawan aku. Tapak rangan merayap ke seluruh belakang kawan aku tu. Lepas tu, bomoh menerangkan kedudukan batu karang yang mendatangkan rasa sakit itu. Dia akan melakukan pembedahan secara batin, katanya. Wah... menarik ni.. Hilang rasa letih kerana perjalanan yang agak jauh dari kampung tadi. Aku berdiri betul-betul di belakang kawan aku supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Rawatan bermula...
Bomoh mencalit kapur sirih pada bahagian pinggan kawan aku - calitan berbentuk pangkah. Itu sebagai pengebas katanya. Dibiarkan dalam sepuluh minit. Selepas itu, bomoh tunjukkan pisau lipat yang bakal digunakan untuk melakukan 'pembedahan'. Seram jugak aku... Sehelai daun sirih diambil dan dilekap ke tanda pangkah. Entah apa dibaca di bomoh aku pun tak tahu. Beberapa saat kemudian, bomoh mengambil pisau lipatnya. Perlahan-lahan daun sirih yang melekat pada pinggang kawan aku tu dihiris.. 1...2..3... tiga kali hirisan. Muka kawan aku berkerut. Tiada setitis darah pun yang keluar kulihat. Tiada juga kesan hirisan sewaktu daun sirih dibuka. Sehelai lagi daun sirih dilekap.. Proses tadi berulang...
'Pembedahan' selesai. Bomoh menyuruh aku memasang satu lagi lampu pada ruang tamu supaya cahaya lebih terang. Dia mengambil semula daun sirih yang digunakan tadi. Dengan menggunakan jari, dia menguis-nguis kapur yang ada pada daun sirih. Sekejap saja dua butir batu yang didakwanya batu karang ditemui bersalut dengan kapur. Batu karang sebesar kepala mancis itu dibersihkan menggunakan tisu dan diserahkan kepada kawan aku. Aku sempat memegang dan memicit-micit batu itu. Bentuknya kecil, keras dan agak berkilat seperti jubin lantai. Kawan aku menyimpan batu itu sebagai 'tangkal' kata guraunya.
Waktu pulang aku tanya tentang pengalamannya semasa di'bedah' tadi. Katanya, ada rasa ngilu dan sedikit pedih. Seolah-olah seperti benar-benar dihiris. Emmm.. ye la kot. Esoknya... aku jumpa dia di tempat kerja. Soalan aku yang pertama, "Dah ok ke ? " . Dia cuma geleng kepala... Kenapa pulak masih sakit ? Semalam kan dah keluar 2 biji.... Hmmm... Aku tetap mencadangkan... dia perlu ke hospital pakar . Dan aku menawarkan diri untuk membantunya... Tapi nampak sangat dia berdegil. Nak tahu apa pulak alasannya ...?
"Yang semalam tu dia keluarkan batu karang... yang aku sakit ni.. Prostat... ".
Pulakkkk dah......
Melihat penderitaan kawan aku tu, aku jadi gayat. Risau kalau aku pulak yang terkena nanti. Aku cuba mencari maklumat tentang punca-punca kita boleh diserang penyakit batu karang tu. Maka di bawah ni adalah hasil dapatan aku... Moga kita sentiasa beringat-ingat kan ?
Antara penyumbang kepada pembentukan batu karang:
Kurang air — Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.
Sejarah keluarga atau sendiri — Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.
Umur — Kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.
Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.
Penyakit tertentu — Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam darah dan membentuk batu karang). Bahkan, individu yang ada penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu karang. Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia (kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih peka menjaga kesihatan.
Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.
Pemakanan — Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.
Kurang bergerak — Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.
Masalah batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan minum banyak air. Pesakit yang pernah mengalami masalah ini dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid urik atau purin.
Sekianlah adanya.....
4 ulasan:
tu yg payohnye oghang kite ni. lagi pecaye ke bomoh dari dokter. kesian dokter wehhh. mengaji 5 6 tahun takde sape pecaye ke deme.
bahaya juga penyakit batu karang nih..cegah sebelum terlambat...minta dijauhkan dari penyakit, berdoa pada Allah agak beroleh kesihatan berpanjangan..
Kelisa : sampei sekaghang ni teman tengok kawan tu masih mengadu sakit
eMMe : pastikan suami byk minum ayo..insyaallah..batu karang boleh dielak..
Catat Ulasan