Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Sabtu, 18 September 2010

Budaya Dusun Lotud, Sabah agaknya... bahagian 3

Saya dengan rendah diri memohon kemaafan kepada suku kaum Dusun Lotud khasnya dan masyarakat Sabah umumnya, sekiranya catatan ini gagal menepati gambaran sebenar tentang budaya dan adat yang digunapakai oleh masyarakat terbabit. Catatan ini hanyalah berdasarkan pemerhatian pada hari kejadian. Maka tentulahlah berlaku kepincangan di mana-mana.

Aku menyandarkan tubuh pada dinding sebelah luar bilik Amak sementara menunggu beberapa lelaki menguruskan mayatnya. Segala kenangan datang satu persatu lalu mengusik jiwaku. Air mata mengalir tanpa mampu ditahan lagi. Aku akui kebaikan Amak sepanjang aku mengenalinya. Tidak pernah sekali pun Amak mengguris hatiku malah dialah penghibur hati setiap kali kami pulang ke Sabah. Aku selalu memperkatakan tentang Islam kepadanya. Pernah juga dia mengakui kebaikan agama Islam namun keberatan untuk menganutinya kerana kekangan yang hanya dia yang tahu. Suatu masa aku katakan bahawa sekiranya dia 'meninggalkan' kami dengan agama Kristian yang dianutinya, maka terputuslah hubungan antara kami. Hubungan antara kami habis di dunia sahaja. Dia termenung mengenangkan hal itu. Namun kini dia telah benar-benar 'meninggalkan' kami. Apa yang aku takuti dulu menjadi nyata. Hakikat ini terpaksa ditelan. Aku sekadar menjadi pemerhati yang kebingungan sambil melihat segala proses pengebumiannya dijalankan...

Seorang saudara isteri meminta aku membantunya untuk mengumpul semua pakaian yang biasa dipakai oleh Amak semasa hidupnya. Aku turutkan sahaja tanpa banyak tanya. Semua pakaian Amak termasuk kain basahannya dimasukkan ke dalam sebuah beg yang besar. Kemudian kami mengumpulkan pula semua keperluan harian Amak seperti selipar, parang, gunting, pen, jam tangan dan pisau kepunyaannya. Dan kerana Amak seorang perokok daun nipah yang mereka panggil sebagai 'bungkusan', maka beberapa berkas daun nipah yang dipanggil 'kirai' dan tembakau yang disebut  'sigup' turut dikumpul bersama barang-barang tadi. Sebuah beg lagi digunakan untuk memasukkan barang-barang itu. Dalam hati tertanya-tanya juga tujuan barang-barang itu dikumpul namun mulut berat untuk bertanya.

Pagi itu suadara mara dari  jauh dan dekat mulai datang berziarah. Berbeza dengan kebiasaan masyarakat Islam di semenanjung, majlis pengebumian Amak bagaikan sebuah kenduri besar. Pada hari pertama, kami menyediakan daging-daging ayam untuk dijamu kepada mereka yang hadir. Terdapat beberapa saudara mara yang membawa air minuman iaitu tuak atau 'bahar' dan 'tapai'. Individu yan berduit pula membawa arak jenama yang mahal untuk dihidang sambil mereka bermain pakau di beranda rumah. Aku hanya sebagai pemerhati. Pagi itu juga mayat Amak dimandikan. Selesai dimandikan, mayat Amak dipakaikan dengan pakaian yang cukup kemas iaitu sepasang blazer hitam siap bertali leher. Aku menawarkan boot kulitku untuk disarung ke kaki Amak. Mayat Amak juga dihias secara ringkas sehingga aku berasakan bahawa itulah penampilan Amak yang paling bergaya yang pernah aku lihat. Aku sentiasa berada di samping mayat Amak. Aku jugalah yang menyalakan lilin-lilin disekelilingnya. Hanya itulah bakti terakhirku buat Amak. 

Satu perkara yang menarik perhatian aku ialah cara masyarakat (terutama golongan tua) di situ ketika berhadapan dengan si mati.  Sebaik sampai di sisi si mati, mereka meraung-raung dan merintih-rintih. Lagaknya seperti benar-benar dalam keharuan yang dahsyat. Mereka turut menggosok-gosok tubuh si mati. Entah apa yang diucap oleh mereka, tidaklah aku fahami kerana mereka berbahasa Dusun. Selepas meraung-raung dan merintih-rintih itu mereka bangun dan bersikap seperti biasa pula. Mereka berbual-bual mesra, mereka berketawa dan ada yang terus memegang daun pakau ! Aku terasa akan suatu kejutan budaya yang tidak aku jangkakan. Sungguh. Ada masanya terasa lucu pula..

Petang itu, mayat Amak dibawa ke kuburan Kristian yang terletak 1 kilometer dari rumah kami. Sekali lagi aku menghulur jasa dengan membantu mereka mengangkat keranda hingga ke mulut kuburan. Aku juga membantu menurunkan keranda ke liang lahat dan menimbusnya secara gotong-royong. Dua beg yang berisi pakaian dan barang-barang peribadi Amak turut dimasukkan ke liang lahat. Barang-barang dan pakaian itu adalah bekalan si mati di 'dunia baharunya'. Rupanya, penganut Kristian juga membacakan talkin selepas pengebumian. Aku dengar dengan teliti. Paderi itu menyebut bahawa tuhan mereka juga adalah Allah. Allah yang bagaimana menurut fahaman mereka ya ?? Sewaktu mereka mengangkat tangan untuk berdoa, aku hanya menundukkan kepala sebagai tanda hormat.( Sikap terbuka aku itu sedikit sebanyak menarik perhatian mereka. Ada yang mengatakan bahawa aku mengamalkan Islam yang berbeza daripada masyarakat Islam di sana. Dan Islam yang aku bawalah Islam yang sebenar ). Majlis pengebumian selesai sudah tetapi di rumah pula,  majlis bagaikan baru bermula.

Masih ramai yang terus tinggal di rumah kami. Hari kedua, mertua menyembelih seekor kambing manakala pada hari ketiga seekor kerbau jantan pula disembelih untuk dijamu kepada penduduk kampung. Mereka berjudi siang ke malam, malam santak ke siang. Mereka minum sehingga ada yang termuntah-muntah. Ada ketikanya berlaku juga pergaduhan kecil sesama mereka yang hilang kawalan akibat kemabukan tuak dan arak. Aku benar-benar tidak selesa dengan keadaan itu. Apatah lagi aku ini memang anti golongan pemabuk. Suatu perkara yang perlu diketahui ialah, masyarakat Dusun Lotud ini amat yakin bahawa roh si mati akan kembali menziarahi kelarga dan rumahnya selama 40 hari bermula dari tarikh pengebumiannya. Malah ada keluarga yang sengaja menaburkan tepung di lantai rumah untuk mengesan tapak kaki si mati . Kononnya, pernah berlaku terdapat kesan tapak kaki si mati pada tepung yang ditabur itu.  Entahlah. Aku nyata terlalu sukar mempercayainya. Pada hari ketiga itu, sedang aku merehatkan badan di beranda rumah, seorang lelaki berlari termengah-mengah mendapatkan mertuaku. Dia meminta tolong kerana ayahnya, datuk saudara isteriku, terbakar teruk tubuhnya akibat disambar api. Aku bergegas ke sana.... hmmm..  malas nak cerita..TAMAT.


4 ulasan:

shahrilhakime berkata...

Errrmmmm.....koghang2 mike dapat tgk beza agame deme dengan acaghe Agame Islam.....

tinuj berkata...

Salam yop,
Tahniah yop mike dapat ceghitekan siket hei budaye oghang dusun. teman duduk di Sabah 8 tahun (kat Keningau) hapah meghacun tahu hei oghang tempatan. Untung le mike dapat mawak balik oghang sabah. Jage le baik2 bini mike tu dengan pegangan kuat pade ugame kite. Mase disane dulu adele juge le teman same-same nolong masaukkan Islam anak mughid sekolah teman. Ghiso, tah ape jadi sekagahngni kut deme balik ke ugama deme ke, hilang ceghite. Ape yang teman bawak daghi Sabah setakat dapat soghang anak jantan yang dibeghanakkan di sane, tapi emaknye tetap oghang Semenanjung hingge kini.Keh...keh...

CETUSAN SEIKHLAS RASA berkata...

Alhamdulilah... terasa bertuah bila ada org yang sudi bercerita tentang budaya masyarakat kami yang sememangnya amat berbeza dan mungkin juga pelik bagi sesetengah masyarakat di Semenanjung. Itulah bah budaya siorang... dari kicil lagi siorang suda kena ajar sama urang2 tua supaya adat ( budaya ) ini nda kami lupakan... tapi ada jugalah yang siorang tinggalkan... tapi yang nda bertentangan dengan agama Islam masi tatap kami kekalkan.

Jiwa Perempuan Gila berkata...

tabur tepung depan pintu dan gantung loceng ! adat kawan aku stay tambunan pun bgtu . s