Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Sabtu, 18 September 2010

Taubat Seorang Kaki Judi

Catatan ini adalah ubahsuai daripada perbualan aku dengan seorang teman di kampung. Terima kasih kerana mengizinkan aku memaparkan kisahnya di sini.. Nama tidak akan dinyatakan...


Aku bangun waktu matahari terpacak tegak di kepala. Aku bangun pun sebab ayah aku yang kejutkan. Aku balik waktu azan subuh dilaungkan pagi tadi. Ayah ke masjid. Aku masuk ke bilik dan terus tidur. Aku kalah berjudi lagi. Kami berjudi dari jam 8 malam santak ke subuh itulah. Dua orang kawan yang memang kaki judi baru balik dari bandar. Mereka bawa wang berkepuk. Sangkaku, dapatlah aku meraih untung. Malangnya aku kalah teruk. Jam tangan dan kasut kulit aku pun tergadai sama. Betul-betul sial. Aku bangun. Seluk-seluk poket seluar, yang ada hanya habuk berpasir. Aku buka dompet, yang ada hanya kertas-kertas kecil dipenuhi angka-angka 4 digit. Sebagai kaki judi, tiada sekelumitpun rasa penyesalan. Yang ada hanya azam untuk menebus kekalahan pagi tadi.  


Ayah baru pulang dari menoreh getah. Lepas kejutkan aku, ayah ke reban ayam untuk menabur dedak makanan ayam. Kepala aku masih terasa pening-pening kerana mengantuk. Waktu aku keluar dari bilik air, ayah memanggil aku dengan nada yang cukup lembut. Ayah mengadu yang dia keputusan rokok. Ayah rasa ketagihan yang amat sangat. Tapi ayah berasa letih untuk ke kedai untuk membeli rokoknya. Ayah pujuk aku supaya menolongnya ke kedai. Ayah hulurkan not RM50 kepadaku. Tak ada duit kecil kata ayah. Ketika aku keluarkan motosikal dari bawah rumah, berkali-kali ayah berpesan supaya aku cepat pulang. Ayah dah terlalu lama menahan ketagihan. Aku pula berjanji mengotakan mahunya. Motosikal kupecut laju...


Rokok Rothmans kepunyaan ayah sudah dalam genggaman. Tiba-tiba aku teringatkan kawan-kawan aku yang berjudi bersama aku pagi tadi. Masihkah mereka di sana ? Rasa ingin tahu membawa aku ke sana. Telahan aku benar. Jumlah mereka semakin ramai. Mereka berjudi dalam dua kumpulan pula berbanding semalam hanya 4 orang. Aku disambut mesra. Syaitan memasukkan jarumnya. Aku raba-raba poket seluar- keluarkan baki duit yang ayah beri. Aku ada modal, bisik hatiku. Inilah peluang menebus kekalahan pagi tadi, bisikan syaitan pula. Terlupa aku tentang rokok ayah. Aku mengemas sila. Daun-daun terup beredar pantas. Permainan bermula lagi..


Kali ini 'tangan menjadi'. Daun-daun 'cantik' sering hinggap ke jari. Dengan cepat aku mengumpul laba. Raja-raja kertas kusumbat ke poket yang semakin sendat. Aku kemabukan oleh kemenangan yang tidak kusangka. Masa berlalu pantas tanpa dipeduli. Azan Zohor sudah lama berlalu, kini azan Asar menyusul. Beberapa orang kawan ada yang sudah mengalah. Mereka yang kalah nampak keletihan dan tertidur di situ. Adat pemain yang menang, aku tentu sahaja tidak dibenarkan menamatkan permainan begitu sahaja. Nanti dituduh menipu pula. Lagipun tangan benar-benar menjadi sekali ini. Hanya menjelang Maghrib barulah kami masing-masing kelelahan. Kami berjanji untuk menyambung kembali pada sebelah malam nanti. Ketika itulah baru aku teringatkan rokok ayah. Aku kelam kabut menuju ke motosikal dan terus memecut selaju mungkin ke rumah.


Sampai di rumah, aku lihat ramai orang berkumpul di halaman. Sebahagiannya berada di ruang tamu rumah. Surah Yassin dibaca bersahut-sahutan. Aku bingung. Tubuh aku menggeletar dan dada bergoncang kuat. Tanpa menghiraukan suara yang memanggil, aku meluru ke ruang tamu.. 
Ya Allah....
Ayahhh......!!  Ayahhh.......!!
Aku terkulai di sisi ayah yang diam dan kaku. Hanya Allah yang tahu perasaan aku . Malam itu emak bertanya ke mana perginya aku sepanjang petang itu. Kata emak, sebelum ayah tiba-tiba kejang dan menghembuskan nafas terakhirnya menjelang Zohor tadi, dia bertanyakan aku. Dia menantikan rokok yang aku beli. Mendengar kata-kata itu, aku meraung semahunya. Sesal di hati aku tidak tergambarkan Mad...Aku bertaubat Mad...Aku bersumpah... Aku tidak akan berjudi lagi...              
 ( Temanku itu mengalirkan air matanya lagi. Aku merangkul bahunya perlahan-lahan. Dalam hati aku berdoa semoga roh ayahnya damai di sana...Amin ). 

Tiada ulasan: