Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Sabtu, 24 Julai 2010

aku dan mak dan abah - bahagian 2

Orang kampung aku panggil 'bengkak degom'. Bila aku dah besar yang benar2 besar, saat aku belajar di universiti, pernah aku sebut pada kawan2 aku tentang bengkak yang satu ni. Semua termenung. Puas jugaklah aku menerangkan duduk sifat bengkak yang orang kampung aku sebut bengkak degom itu. Ada yang kata itu penyakit beguk. Ada yang lain pulak kata penyakit benguk. Yang 'bongok' tu lain pulak. Penyakit jugaklah, tapi itu tentang penyakit yang paling teruk... Bengkak degom ini ialah bengkak yang membesar antara dagu bawa ke leher. Badan jadi macam demam tak demam. Telan air liur pun seksa, apatah lagi nak makan. Dan yang celakanya, bengkak yang satu ini lambat nak susut.... Satu lagi ialah 'sakit tengkuk'. Sakit ini belum capai tahap atau maqam yang layak dipanggil penyakit. Tapi sakit tu tetap sakit. Sakit tidak selesa. Bila terkena kepala hanya tegak. Jika perlu menoleh, badan pun turut menoleh sama. Kedua2 musibah inilah yang terlalu 'berkenan' kat aku masa aku kecil2 dulu. Maka, terkurunglah aku di dalam rumah. Paling jauh aku boleh bergerak hanyalah sekitar laman rumah aku dan laman rumah Wan Timah, jiran sebelah. Biasanya aku akan duduk lama2 di muka pintu sambil memerhatikan kawan2 aku bermain guli atau getah bulat di laman rumahku. Itulah saat paling membosankan dalam kamus hidupku sebagai budak2....

Arwah maklah yang paling prihatin kalau anak bongsunya ini sakit.Hampir setiap jam mak tanyakan keadaan aku. Kadang2 jadi rimas pulak aku. Aku batuk pun ditanyakan itu ini. Aku tidur dikatanya aku benar2 sakit. Aku ke tandas ditanya jugak, cirit ke tidak. Apa pulak kaitannya, sakit tengkuk dengan berak ? Dan apa pulak kaitannya, bengkak degom dengan cirit ?. Kalau mak ke mana2, mak akan dukung aku. Mak tak pernah mengeluh penat. Mak marah bila aku tak mahu didukung. Mak penat, mak paksa kakak pulak mendukung aku. kadang2 kakak sempat jugak berikan cubita manja kat peha aku. Apa lagi, menangis melalaklah aku seperti digigit tebuan maha bisa lagakku. Jenuh pulak kakak menadah telinga mendengar leteran mak. Mak bawa aku berjumpa Wan Long untuk mengurut leherku. Biasanya, sekali urut terus baik. Wan Long pulak diberikan sekor ayam jantan, secubit garam kasar dan sebatang jarum sebagai pengeras. Kononnya, penyakit aku nanti berpindah kepada ayam itu. Sebab itulah ayam2 yang dibuat pengeras ni umurnya tak panjang.. betul ke ? Mak rawat sendiri penyakit bengkak degom yang aku tanggung. Mak pakar hal2 petua2 lama. Mak ambil nila mak bancuh dengan cuka. Kemudian mak sapu ke tempat yang bengkak itu. Aku masih ingat akan sejuknya ubat ramuan mak. Mak yakin akan mustajabnya petua lama. Dan terbukti memang mustajab ! Begitulah mak.. terlalu sayang padaku...

Abah pulak..? Abah seperti tak pernah peduli. Orang jantan mesti kena kuat katanya. Paling2 pun dia akan cakap, " Cepat2 baik. Idak nak makan roti canai kundas Dollah ke ?" . Abah lebih kisahkan kurap sebesar tapak tangan di pelipat kakiku. Abah rajin mengambil pucuk daun gelenggang atau daun panau di tepi2 parit. Nanti abah panggil aku duduk dekat abah. Abah akan gosok daun2 itu pada kurap yang bertepek degil sampai keluar cecair berwarna hijau . Esok abah gosok lagi. Tapi kurap itu memang degil. Hilang sebulan, kurap itu muncul jugak lagi. Tapi ayah tak pernah putus asa. Dan kurap degil hanya hilang bila abah bawa aku berjumpa doktor, mungkin lima enam tahun kemudiannya. Satu perkara yang aku faham tentang abah, abah melatih aku agar membesar sebagai 'anak jantan'...Buktinya, abah tak pernah marah kalau aku bergaduh dengan kawan2. Malah abah berpesan, anak jantan mesti berani ! Apakah aku ini berani...????

bersambung.....

Tiada ulasan: