Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Selasa, 27 Julai 2010

Detik ngeri seorang budak lelaki


Aku murung sejak seminggu yang lalu. Aku banyak habiskan masaku dengan berkurung di dalam bilik. Bukan.. di bawah katil di dalam bilik. Inilah sebenarnya.. Aku ditemani lampu suluh bateri tiga yang kupinjam daripada abah. Kepala lampu suluh itu kubuka. Aku gantung lampu itu pada bawah katil kayu. Bila dipasang suisnya, maka teranglah sebahagian besar ruang di situ. Tiga empat biji bantal aku susun kemas sebagai pengganti tilam. Katil kayu itu agak tinggi dan kukuh. Di situlah aku bermenung dan meratapi nasib yang bakal kutempuh beberapa hari lagi. Entah apalah jadahnya, baru kini aku menyesali betapa sukarnya menjadi lelaki. Dan akan cemburui sepupuku, Zuraidah yang lahir sebagai perempuan. Perempuan melepasi detik itu sejak berusia seminggu lagi. Untung sungguh ! Untung kerana dalam usia itu, manalah ada rasa takut dan gelisah. Maka, dalam keadaan kritikal begini aku tidak mahu diganggu. Pada katil kayu itulah aku mengenang nasibku..Di bawah katil itu jugaklah aku berkali2 menatap dan meneliti sesuatu yang akan dipisahkan dari sebahagian anggota tubuhku.(Perlu kunyatakan di sini bahawa katil itu masih ada dan masih digunakan hingga ke hari ini. Akulah yang paling rajin membaiki dan menjaganya. Aku sayang katil itu atas nilai sentimentalnya itu. Agaknya, ia hanya akan musnah dengan 'tiada'nya aku di dunia ini nanti..
Mak tak pernah jemu memujuk aku. Katanya, aku akan jadi orang besar. Mak kata lagi, semua lelaki mesti melaluinya. Kononnya abah telah menempah orang yang paling arif dan terbaik untukku. Maka katanya, rasa sakit tak mungkin ada. Semua yang pernah menggunakan khidmatnya sembuh cepat. Mak pujuk lagi. Mak kata pada hari itu nanti aku akan dilayan sebagai raja. Saudara mara berebut2 sedekah wang yang besar2 untukku. Tapi mak sempat juga pesan, lepas itu nanti tak boleh bogel-bogelan lagi. Malu. Aku hanya diam. Kadang2 aku termakan juga dengan pujukan mak. Antan Du dengan Man Yeop dah setuju untuk bersamaku pada hari itu. Antan Du memang berani. Aku lihat dia seperti tak sabar2 menanti hari. Antan Du seronok bila abang aku, Pian menjanjikan rokok2 yang sedap2 untuk dia. Keberanian Antan Du memang semua kawan2 tahu. Pernah suatu hari peha kanannya tertusuk parang. Luas lukanya sebesar mulut orang dewasa tapi dia masih boleh tersenyum berjalan ke sana sini. Cuma tak lama kemudian dia pitam kerana kehilangan banyak darah yang memancut melalui lukanya itu. Peristiwa itu adalah bukti nyata bahawa dia bukan saja berani malah sangat lasak. Man pula macam tiada apa2 yang akan berlaku. Bila aku tanya tentang perasaannya dia hanya tersenyum. Tapi kenapa aku pulak yang sasau tak menentu ?
Esok saat kengerian itu akan tiba. Aku pula sudah semakin mampu menerima hakikat bahawa aku ini tiada pilihan lain. Ini kemestian. Aku kembali bermain dengan kawan2 ku seperti biasa. Cuma , kambing jantan yang abah beli daripada Cik Awi dari kampung Tok Ampang itu kadang2 mengganggu perasaanku. Entah mengapa, setiap kami ia mengembek, setiap kali itulah aku berasa seperti aku diketawakan dan diejek. Patut sangatlah aku menendang perutnya yang buncit sewaktu abah meminta aku membetulkan lilitan tali yang membelit lehernya petang itu. Sebenarnya semenjak aku diberitahu tentang rancangan mak abah itu, Abah semakin kerap membawaku ke pekan Karai. Abah rasuahi aku dengan canai dan kundas mamak Dollah. Abah belikan apa saja yang kumahu. Abah belikan sepasang baju melayu warna hijau pucuk yang cantik untuk kupakai pada hari itu nanti. Abah memuji2 aku dengan kata2 yang membangkitkan semangat dan keberanianku. Memang abah pakar dalam memujukku. Aku juga sedar bahawa abah mampu menundukku dengan ilmu2 dunia yang sarat di dadanya. Aku tahu benar itu. Saudara mara yang jauh telah beberapa hari bermukim di rumahku. Saudara perempuan yang paling aku minati masa kecilku, Norhayati Saidin setia menemaniku sepanjang waktu. Nyata sekali dia juga amat menyenangiku. Dia seperti tidak mahu berenggang walau seminit pun. Sikapnya itu kekal hingga kami remaja. Apabila aku menolak untuk ditunangkan dengannya, dia merajuk lalu membawa diri. Dia juga enggan menemui aku lagi.. Mana mungkin aku dapat menerima seseorang yang kuanggap benar2 seperti adikku untuk menjadi suri hidupku. Ahhh.. itu kisah lama !
Hari yang tidak kunanti tiba jua. Sebenarnya, malam itu aku tak mampu melelapkan mata walau sepicingpun. Yati lena bergolek di sebelah kiriku. Mak berdengkur keras di kananku. Di bawah rumah, di tungkup dan di lepau masih ada yang asyik bersembang2 sambil melakukan apa2 kerja yang perlu sebagai persiapan hari esok. Aku kekal berjaga hingga ke pagi. Maka pagi itu, akulah yang paling awal bangun. Aku kejutkan Yati dan ajak dia ke sungai. Tak lama kemudian , Antan Du datang berlari menyertai kami. Satu demi satu kawan2 datang berlari dan terus terjun ke dalam sungai. Ada yang bertelanjang bulat dan ada yang memakai seluar pendek. Aku lihat Yati malu2 lalu terus mencapai kain dan menunggu aku di tebing sungai. Agak lama kami bermain. Penat bermain aku dan kawan2 memekap dan menangguk ikan di tepi sungai dan di celah2 pohon kayu yang tumbang. Cerita tentang kengerian hilang seketika. Kami pulang hanya setelah abang sulungku, Ncik mendapatkan kami dengan sebatang kayu terlihat ditangannya.
Waktu aku sampai ke laman rumah, aku terkejut melihat orang ramai sedang sibuk di rumahku. Majlis itu benar2 seperti yang abah bayangkan. Amat meriah dan besar2an. Majlis yang melibatkan tiga buah rumah iaitu rumah aku, rumah Yoep(ayah Man) dan Pak We (Atuk Antan Du dan Man) adalah yang pertama diadakan di kampung aku. Kakak menjerit memanggil namaku dan mengarahkan aku naik segera ke rumah. Aku dipakaikan baju melayu hijau pucuk yang baharu, bersongket hitam kepunyaan Nyah dan berselipar getah berwarna coklat gelap. Aku benar2 bergaya. Mungkin yang pertama kali dalam hidupku sebagai budak kampung. Masa begitu cepat berlari. Selesai jamuan makan tengah hari, aku sekali lagi dipanggil naik ke rumah. Kali ini aku dikenakan aksesori tambahan pada pakaianku. Dua pasang rantai emas kepunyaan mak dikalung ke leherku. Seurat rantai panjang sejengkal pula, dipinkan pada songkok yang kupakai. Muka aku dibersihkan dan dibubuh bedak. Aku bingung diperlakukan begitu. Dan aku kurang mengerti untuk apa aku dihias sehebat itu. Namun aku tidak mahu bertanya, apatah lagi untuk membantah. Tak lama kemudian aku diminta naik ke rumah Yeop pula. Satu majlis khataman al-Quran akan dilangsungkan. Antan Ndu dan Man yang masing2 memakai baju melayu hitam dan siap disolek cantik sudahpun menunggu aku di situ. Tidak seperti aku, Antan Du dan Man belum tamat mengaji lagi masa itu meskipun mereka setahun lebih tua dariku. Aku khatam al-Quran waktu aku dalam darjah dua. Mungkin antara yang paling cepat pada masa itu. Masuk darjah enam, aku sudahpun mengulangi membaca buat kali tiga. Sempat jugak aku menyertai musabaqah sebanyak dua kali untuk mewakili sekolah. Guru yang mengajar aku ketika itu ialah Ustazah Zaleha, bekas qariah negeri Perak. Aku mengetuai bacaan al-Quran dan diperdengarkan di hadapan Allahyarham Tok Guru Hj Abdul Samad (bapa saudaraku dari kg Jamuan), Tuan Hj Ustaz Abdul Samad (ustaz sekolah agama rakyat) dan Tuan Haji Ustaz Amran (Ustaz Sek. Keb. Karai) .
Sebaik sahaja selesai majlis khataman al-Quran, rebana dipalu kompang ditepuk. Suasana menjadi cukup meriah. Dadaku terasa berdebar kencang. Antan Du tersengih2. Man hanya diam sambil memerhati gelagat orang ramai yang berasak2 menyambut kami yang bakal turun melalui tangga depan rumah Yeop. Aku memaksa senyum. Sempat juga menjeling Yati yang sedang melompat2 mencari ruang untuk melihat kelibatku. Di bawah sana Pian, Nyah Rashid bapa Antan Du dan Li Pak We sedang menunggu. Merekalah yang akan menjulang kami dengan bahu2 mereka untuk membawa kami ke sungai Perak. Kompang bergema tanpa henti. Aku lihat pemain2nya menepuk dan berlagu dengan penuh semangat. Sampai ada yang menjerit2 waktu meningkah lagu2 yang dialunkan. Paluan kompang mengiringi kami hingga kami dihumban penuh mesra ke perut sungai yang jernih dan dingin itu. Kami diminta mandi sepuas2nya dengan tujuan mengecut dan melembutkan apa yang bakal dipotong itulah. Tiba waktunya, Man orang yang pertama dipanggil naik ke darat dan terus dijulang menuju ke rumah. Di sana Tok Mudim sudah pun bersedia. Tak lama kemudian aku dan Antan Du pula dipanggil. Aku sudah tidak mampu berkata2 lagi. Hanya tunduk dan terdiam. Ternyata bersunat atau masuk jawi pada zaman itu adalah sesuatu yang amat mengerikan.
Waktu aku sampai ke tangga rumah Yeop, Man sudah pun bersedia untuk disunatkan. Proses itu diiringi dengan paluan kompang juga. Barangkali untuk mengelakkan orang di bawah mendengar sebarang tangisan atau jeritan orang yang bakal disunat itu. Lebih kurang macam menjaga maruah yang terlibatlah. Aku tidak mempedulikan kata2 yang melarang aku melihat proses penyunatan itu. Aku memanjat beberapa anak tangga dan mengintai melalui tingkap yang terbuka. Di situ aku dapat melihat dengan jelas Man sedang didudukkan di atas sebatang batang pisang yang sederhana besarnya. Aku perhati dengan penuh minat. Dua orang dewasa memegang tangan dan merangkul pinggang Man dengan kuat. Tok Mudin mengeluarkan sejenis penyepit yang diperbuat dari buluh lalu menyepit dan menarik dengan kuat kulit di hujung kemaluan Man. Dalam jarak tarikan yang sesuai, penyepit buluh itu dipacak kuat pada batang pisang. Tiada sebarang pengebas diguna. Man mengerut mukanya. Orang dewasa pula semakin kuat memegang sambil memberikan semangat pada Man. Tok Mudim mengeluarkan sebilah pilih pisau yang sama seperti pisau Pakcik Saharum, tukang gunting gunakan untuk mencukur kepalaku dulu.Cuma mungkin pisau yang ini jauh lebih berkilat. Dengan cekap dan penuh hati2 Tok Mudim menekan pisau itu ke kulit yang telah ditarik tadi. Aku melihat jelas bekas hirisan kulit yang putih seperti kapas itu. Belum sempat darah mengalir, segulung kain pembalut luka digunakan untuk membalut tempat yang luka tadi. Aku menjadi gementar. Patutlah orang tidak benarkan aku melihat proses itu.
Tiba giliran aku.. Aku menahan tangis. Tok Mudim ketawa sambil memujukku. Abah muncul di muka pintu dan terus memelukku. Pak Talib dan Cik Awi diminta membantuku. Aku cuba bangun seperti ingin lari tetapi ternyata tenaga perkasa mereka memerangkap aku. Sempat juga aku merayu pada abah supaya aku dikecualikan daripada disunat pada hari itu tetapi tidak diendah lansung. Aku sedikit meronta, maka proses menjadi seperti terganggu. Aku mulai menangis dan merayu2 apa yang patut. Barangkali kerana melihatkan keadaan aku itu, kompang kudengar semakin kuat dan galak bunyinya. Suara alunan lagu pemain2nya pun begitu lantang sekali. Dalam meronta2 itulah rupanya aku sudah pun selamat disunatkan. Aku tidak menyedari apa2 pun. Tiada rasa ditarik, disentap mau pun dipotong. Hanya sedikit pedih. Sangat sedikit. Aku bagaikan tidak percaya apabila disuruh menunduk melihat hasilnya. Wah..dah siap berbalut pun ! Semua yang ada di situ ketawa besar dengan ulahku. Aku sendiri tersenyum malu. Apabila Antan Ndu jugak selamat disunatkan, kami dihulurkan sebatang rokok seorang untuk dihisap. Kononnya sebagai ubat penahan sakit. Tapi aku menolak, sebaliknya memilih untuk mengunyah sirih pinang bagi tujuan yang sama. Antan Ndu pula aku lihat pulun semacam. Pian memang mengotakan janjinya. Ternyatalah, bersunat pada waktu itu adalah sesuatu yang mengerikan pada kebanyakan budak2 lelaki. Kadang2 lucu pun ada. Tanyalah orang2 lama...

Tiada ulasan: