Dedikasi buat teman2ku..
Antan Du, Antan Piah, Intan, Kama, Megat, Taa dan yang lainnya. Salam kasih sayang yang abadi drpd aku...Ini kisah 'kita'.
Jika aku mengenangkan teman2 sepermainanku sewaktu kecil dahulu, aku mudah tersentuh. Malah aku pernah menitiskan air mata kerana mereka. Ada waktu2nya aku menjadi terlalu rindu. Saat ini pun ada rasa gelora sendu di dada. Jauh di sudut hati aku ini terlalu menghargai hubungan yang terjalin sejak kecil itu. Mereka bukan sahaja teman tetapi adalah juga saudaraku. Apabila sebut sebut tentang kenangan, begitu pantas empat nama ini terbayang - Antan Ndu, Antan Piah, Intan dan Kama. Antara kami, Antan Piah yang paling tua, diikuti oleh Antan Ndu. Aku sebaya dengan Intan dan Kama yang 2 tahun lebih muda adalah adik kepada Antan Piah. Ramai lagi yang lainnya tapi mereka berempat inilah watak utama yang sentiasa ada bersama aku masa kecil2 dulu. Rumah aku, Antan Ndu dan Antan Piah bertemu laman. Manakala rumah Intan di hilir kampung. Kami bermain bersama. Kami mencuri jambu batu, jagung, rambutan, limau atau apa2 sahaja yang sempat kami capai juga bersama2. Kami bergaduh dengan budak2 lelaki dari hulu kampung dan kampung2 bersebelahan juga bersama2. Umpama cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Kami juga biasa bergaduh sesama sendiri tetapi cukup separuh hari, kami mesra kembali. Aku sendiri pernah bergaduh dengan kesemua mereka, kecuali Antan Piah. Aku tiada jawapan jika aku ditanya punca aku tidak pernah bergaduh dengan dia - meninggi suara pun tak pernah antara kami. Dari dulu hingga ke hari ini. Maknanya, pepatah yang mengatakan 'sedangkan lidah lagikan tergigit' tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan kami. Saat ini aku terfikir.. Adakah mereka tahu tentang perasaan aku terhadap mereka selama ini ?
**********************************************.
Pagi itu masih dingin dan berkabus nipis. Aku yang duduk menjuntai kaki di muka pintu membungkus seluruh tubuh dengan kain pelikat yang kupakai. Aku menunggu kelibat Antan Ndu turun dari tangga rumahnya dengan sabar. Janji untuk menjayakan 'projek' besar harus ditunaikan. Aku ingati sungguh2 arahan2 yang Antan Piah berikan malam tadi. Intan sudah dimaklumkan awal2 lagi pada petang kelmarin. Intan tak pernah mungkir. Kemahiran dia amat kami perlukan. Sesekali aku menyumpahi Antan Ndu yg masih belum nampak batang tubuhnya itu. Celaka. Aku pantang menunggu. Rasanya aku yang perlu mendapatkannya. Dengan agak tangkas aku mengikat kejap pelikat ke pinggang lalu melompat ke bawah tangga. Buru-buru aku capai sebilah parang puting kepunyaan opah. Dalam dua puluh langkah sahaja, tapak kaki aku sudahpun berada di bawah rumah Antan Ndu-betul2 di bawah bilik tidurnya. Ulu parang puting aku ketuk2 secara perlahan ke lantai. Tak sampai 30 saat aku sudah pun mendengar hentak kaki Antan berlari ke pintu. Dia masih mamai tp sempat tersengih memandang aku yg bercekak pinggang di kaki tangga.
Antan Ndu mminta aku menunggu utk dia bersiap2. Tak lama kemudia dia muncul kembali dengan seluar pendek hijau dan bertali pinggangkan seutas tali rapia tebal berwarna merah, sperti aku. Kami jarang berbaju. Di tangan kanannya ada sebungkus cucur kelapa yg masih panas. Sebilah golok bersarung kayu nangka diikat kemas dipinggangnya. Sesekali Antan menggaru2 pipi dengan jari, lalu kelihatan berminyak2lah pula pipinya yang hitam itu. Antan Ndu agak lucu. Lucunya kekal hingga ke hari ini.
Waktu kami sampai ke rumah Antan Piah, dia tiada di rumah. Segera kami berlari menuju ke kebun ayahnya. Jangkaan kami benar. Antan Piah dengan Kama tengah sibuk mencantas 'daun kosong' yang terjuntai di batang2 pisang. 'Daun kosong' perlu yang betul-betul layu penuh. Kama kelihatan tangkas memungut dan mengumpulkannya ke satu tempat. Tanpa banyak bicara aku dan Antan Ndu turut membantu. Tidak lama kemudian, bersihlah pokok pisang di kebun itu. Kami angkut kesemua 'daun kosong' dan kumpulkan ke rumah Wan Chu Bi yang letak rumahnya paling hampir dengan tebing sungai Perak. Kami perlukan lebih banyak lagi "daun-daun kosong'. Aku bergerak ke kebun abah. Antan Ndu ke kebun ayahnya. Antan Piah ke kebun Pak Megat. Kama ke kebun Pak Pandak.
Kini 'daun kosong' yang kami kumpul membentuk bukit yang sederhana besar di tepi laman rumah Wan Chu Bi. Intan yang agak lewat sampai tidak bertangguh menjalankan tugasnya. Antara 10 hingga 12 helai 'daun kosong' disimpul/diikat antara satu sama lain lalu membentuk rantaian. Selesai satu rantaian, satu rantaian lagi dibuat. Beberapa remaja yang tahu akan tujuan kami tanpa diminta turut membantu. Aku, Antan Ndu dan Kama membiarkan saja kerja2 itu dibuat oleh orang lain. Kami hanya mencantas- menarik- mengumpul 'daun-daun kosong ' itu. Bila dah ramai memberi tangan kami boleh bersenang dirilah. Aku dan Antan Ndu mengambil peluang untuk memanjat pohon rambutan yang lebat berbuah di lereng tebing Sg Perak. Rambutan kampung yang agak masam dan tidak lekang itu kami jamah dengan selera 'buaya'. waktu itu kami tak kenal rambutan gading, rambutan anak sekolah atau yg biasa orang zaman ini panggil rambutan kawin. Rambutan yang sanggup kami curi pada malam2 hari itu, pada hari ini hanya menjadi pembasah tekak kera, tupai dan burung2. Orang tak pandang walau sebelah mata pun.
Kerja membuat rantaian 'daun kosong' begitu cepat disiapkan. Semakin ramai yg berkumpul untuk membantu dan menanti dengan sabar kerja2 akhir disiapkan. Rantaian2 'daun kosong' tadi kemudian digabungkan sehingga menjadi sebesar pemeluk orang dewasa. Tali yang diperbuat daripada kulit pokok 'seniai' pula digunakan untuk mengikat gabungan rantaian tadi. Jarak antara satu ikatan dgn ikatan yg lain ialah dalam ukuran sedepa. Apabila siap, rantaian tadi menjadi seperti seekor naga yang besar berukuran 30 kaki panjangnya. Mesikpun Intan masih dianggap kecil dari segi usia tetapi kemahiran dia dalam kerja2 sebegitu diakui oleh mereka yg lebih tua. Intan melakukan kerja2 mengemaskan lagi hasil kerja kami pada hari itu. Intan menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jari kanannya. Dan ini menandakan bahawa kami telah berjaya menghasilkan apa yang kami panggil 'pukat ikan' pada zaman itu. Aku dan yang lain melompat keriangan. Beberapa remaja termasuk abang aku, Pian dan Tid turut menyatakan keinginan menyertai 'projek' kami. Saatnya telah tiba..
Kami yang masih kecil segera membuka seluar pendek masing2. Kami sangkut seluar kami pada tunggul yang banyak berceracak di tebing sungai itu. Kami berdiri membentuk barisan di sisi pukat dan bersedia menanti arahan untuk mengangkat pukat tersebut secara serentak. 1..2....3..!!! Pukat kami angkat dan letakkannya ke bahu. Bagi aku yang masih kecil, pukat itu agak berat juga. Paling celaka jika ada daun kosong yang dihuni semut2 hitam. Jenuh pulak menepisnya supaya jangan sampai ia tersesat ke telinga. Kami berjalan cepat2. Sampai sahaja ke pantai sungai yang berbatu2 kecil itu, kami humbankan pukat ke dalam air. Beberapa orang dewasa sedia menunggu di situ. (Perlu dinyatakan di sini bahawa dahulu sg Perak mempunyai pantai yang agak luas dan cantik). Pukat itu kemudian ditarik perlahan2 mudik ke hulu sungai. Biasanya dalam jarak 100meter sahaja. Tiba di tempat difikir sesuai, pukat ditarik supaya melintang dari tepi ke tengah sungai. Pukat dihanyutkan dengan keadaan yang kekal melintang. Orang dewasa yang bertenaga memegang kuat kedua2 hujung pukat. Kami yang masih kecil pula berdiri di sepanjang pukat dari arah hulu. Kami akan bersorak2 dan menepuk2 air sungai dengan tujuan ikan2 tidak terlepas berenang ke hulu.
Apabila tebing yang bakal kami singgah semakin hampir, pemegang hujung pukat di sebelah tengah sungai mula bergerak ke tebing sambil yang memegang hujung pukat di sebelah tebing memperlahankan pergerakannya. Kami yang berada di sepanjang pukat semakin galak menjerit2 dan menepuk2 air. Semakin hampir semakin kuat dan semakin kuat. Pemegang di hujung pukat sebelah tengah sungai bergerak dengan cepat. Waktu pukat benar2 hampir dengan pantai, banyak ikan2 yang berlompatan melepasi atas pukat bagi menyelamatkan diri dari kepungan pukat itu. Pukat itu menghasilkan ombak yang agak besar melanda tebing sungai. Air sungai yang melimpah itu membawa bersama ikan2 yg terperangkap. Air sungai kembali ke sungai tetapi ikan2 terkodek2 di pantai. Ada yang terperangkap pada pukat kerana pukat hanya membenarkan air mengalir tetapi ikan tidak mampu melepasinya. Kami berebut2 menangkap ikan2 itu. Ikan lampan, belut, jelawat sebesar tapak tangan, betuk ubi dan seluang paling banyak kami peroleh. Orang2 tua yang turut menyaksikan 'pesta' itu turut tersenyum riang kerana adalah lauk untuk santapan tengah hari dan malam nanti. Kami ulangi proses itu beberapa kali sehingga bakul masing2 sarat berisi..'Pesta' ini adalah salah satu daripada keriangan kami. Sungguh !.
Mungkin agak aneh jika dibayangkan pada hari ini. Malah mungkin ada yang tidak percaya bahawa cara inilah yang kami gunakan untuk mendapat ikan yang banyak pada zaman itu. Tetapi percayalah.. yang aku catatkan ini mungkin boleh dikatakan ...'pelik tapi benar'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan