Ada seorang bidan muda di kampung. Berpindah ke sini mengikut suaminya yang memang anak jati kampung aku. Wajahnya manis, berkulit hitam manis dan lincah geraknya. Punyai peribadi yang menyenangkan. Peramah dan mudah menghulurkan tangan membantu orang yang dalam kesusahan. Secara peribadi aku menghormatinya. Suaminya 'loklak' sikit. Suaminya agak kelakar dan bersuara kuat. Setiap kali aku mendengar sembangnya, aku mudah benar ketawa. Ke sana ke mari dengan motor Vespa birunya. Namun jarang benar aku melihat bidan muda itu membonceng di belakang Vespa biru itu. Bidan muda biasanya hanya berjalan kaki atau berbasikal ke mana2. Perlukah aku menyebut namanya di sini ?
Namanya begitu cepat bermain di bibir penduduk kampung. Selain sikapnya yang baik dan mudah menyesuaikan diri dgn penduduk kampung, dia juga disebut atas misteri yang berada di belakangnya. Dia mendakwa bahawa dia adalah waris seorang bidan yang hebat suatu ketika dulu iaitu Bidan Mak Lanjut. Masa kecil aku hanya tahu menyebut nama itu. Tidak aku tahu apa2pun tentangnya. Namun ketika aku remaja dan sedang menuntut di universiti aku pernah terbaca di akhbar tentang kubur Bidan Mak Lanjut yg terpaksa dipindahkan kerana menjadi tempat kerja2 khurafat sesetengah orang. Barulah aku tahu kehebatan bidan itu. Sesuai dengan kehebatan Bidan Mak Lanjut, bidan muda kampung aku itu pun sedikit sebanyak memperlihatkan kehebatan yang sama, walau mungkin setengah tiang daripada kehebatan Bidan Mak Lanjut itu.
Bidan muda tidak boleh sama sekali meninggalkan solat, nanti ada tangan ghaib yg akan memukul menampar mukanya. Bidan muda mudah melihat benda2 halus. Dia pernah mengadu pada arwah mak. Sambil menangis dia meluahkan perasaan takut dan kalut yang mengganggu jiwanya. Jika bidan muda benar2 dlm kesusahan, dia hanya perlu merendamkan kakinya ke dalam air sungai. Biasanya, tidak lama kemudian adalah seutas dua rantai emas yg membelit pergelangan kakinya. Sukar benar dipercayai tetapi dia memang pernah membuktikannya. Namun keluarga bidan muda bukan keluarga yg kaya. Keluarga itu kekal dalam kesederhanaan. Bidan muda dikenali sebagai pakar mengurut. Seni urutannya menakjubkan dan digemari ramai penduduk di kampungku. Wanita2 yg bakal melahirkan anak, biasanya 'menempah' awal untuk mendapatkan khidmatnya selepas bersalin nanti. Malah aku sendiri pun pernah mendapatkan khidmatnya sewaktu aku terseliuh kaki ketika bermain bola. Masa itu mungkin aku masih belajar dalam tingkatan 5. Selepas tiga malam diurut, aku sudah pun mampu turun bermain bola semula. 'Kehebatan' bidan muda seterusnya aku ketahui berdasarkan pengalaman aku sendiri...
Peristiwa ini berlaku ketika aku bsudahpun belajar dalam sekolah menengah. Tingkatan berapa aku tak pasti. Yang aku benar2 pasti, ketika itu penyanyi Jamal Abdillah sedang 'meletup2' dengan lagu "Kau Lupa Janji" nya. Waktu itu pula musim buah di kampung aku. Durian, langsat, rambutan dan manggis menjadi betul. Harga durian bagai harga emas. Kami penduduk kampung dilimpahi kemewahan sedikit. Kerana kemewahan yang sedikit itulah juga yg menyebabkan sesetengah orang menjadi sombong. Ramai jgk saudara mara dari jauh datang berkunjung. Suasana ketika itu menjadi meriah. Kampung menjadi 'terang' kerana kami menebas semak belukar di kebun durian masing2. Dangau atau pondok2 kecil dibina di setiap kebun. Suasana malam pun benar2 hidup. Kami berkeliaran di malam hari. Ada saja pergerakan manusia di mana2. Biasanya kami akan berjaga hingga dinihari kerana waktu-waktu beginilah durian galak luruh menghentam bumi. Setiap kali terdengar bunyi hentaman durian yg luruh, setiap kali itulah kami berkejar memungutnya. Malah kami adik beradik akan berebut2 mendapatkannya. Aku pun tidak faham. Mengapa tidak dibiarkan sahaja- tunggu sehingga jumlahnya berbaloi untuk dipungut- pungutlah ? Namun bila difikirkan semula, aku mengakui bahawa tindakan aneh itulah pula yg akhirnya menjadi catatan kenangan yg indah untuk dikenang....
Abah memajak sebuah kebun durian. Letaknya betul2 di hilir kampung. Di situ ada sebuah rumah yg dihuni oleh seorang balu bersama anak gadisnya. Tapi biasanya balu itu berseorangan kerana anaknya bekerja di Kuala Lumpur. Jarang benar balik ke kampung. Abang aku, Pian membina sebuah dangau ringkas tidak jauh dari rumah tersebut. Dangau yang berdindingkan guni tepung dibelah dua dan beratap nipah itu cukup2 untuk 4 orang dewasa berbaring di situ. Di situlah hampir setiap malam pada musim durian aku berjaga dan melelapkan mata. Sejak belakangan ini kes curi durian makin menjadi2. Pian dan aku bertekad untuk memerangkap pencuri itu. Kami semakin kerap berjaga hingga ke pagi. Tapi dalam catatan ini, aku tidak bercadang untuk memanjangkan kisah menangkap sang pencuri. Barangkali akan aku ceritakan pada catatan yg lain nanti.
Suatu malam Pian mengajak kesemua kawan aku untuk bermalam di dangau kami. Intan, Antan Ndu, Antan Piah dan Kama dengan senang hati menerima pelawaan itu. Kami menunggu dengan sabar kedatangan sang pencuri. Aku diminta mengambil tempat untuk menanti sang pencuri di pangkal sepohon durian yang besar kira2 50 meter dari dangau. Kawan2 yg lain aku tak pasti. Hanya Kama yg tinggal di dangau. Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam lebih. Suasana sunyi. Tiba2 terdengar suara perempuan dan seorang lelaki sedang memberi salam bertubi2 di rumah yang berdekatan itu. Aku tersentak. Suara yg cemas dan memecah kesunyian malam itu membuatkan dadaku berdebar. Ada sebuah nama yg tidak kukenal dipanggil berkali2. Aku segera berlari ke arah dangau. Kama sudah pun tercegat di depan dangau itu. Tidak lama kemudian Pian dan kawan2 yg lain sudah pun berada bersama kami. Seorang perempuan, iaitu anak sulung bidan muda tiba2 muncul. Rona wajahnya amat cemas. Dia terus bertanya tentang seorang lelaki yang tiada seorang pun dalam kalangan kami mengenalinya. Dia mengatakan bahawa bidan muda sedang mengamuk di rumahnya. Bidan muda mendakwa maksiat sedang berlaku di rumah yang berdekatan dengan dangau kami itu. Kami jadi bingung kerana setahu kami hanya ada seorang sahaja yg berada di rumah tersebut. Kami terus sahaja ke laman rumah itu dan memanggil penghuninya. Tiada sebarang jawapan. Pelik.
Anak sulung bidan muda kelihatan semakin cemas. Tidak lama kemudian aku terdengar bunyi riuh rendah orang berlari dan ada yang bermotosikal menuju ke arah kami. Ada suara aneh yang menarik perhatian aku. Dengan menggunakan lampu suluh yang memang ada digenggam, aku menyuluh ke arah bunyi itu. Aku dapat melihat dengan jelas seorang perempuan sedang berjalan dengan sangat cepat menuju ke arah kami. Rambutnya panjang mengerbang, mata yang terjegil itu menimbulkan rasa seram. Intan dan Kama memegang tangan aku. Bila semakin hampir baru aku perasan yg perempuan itu adalah bidan muda. Mukanya benar2 berubah menjadi kehitaman dan menakutkan. Aku sempat menangkap suara amaran daripada seseorang yang baru datang itu yang mengingatkan supaya jangan ada yang cuba melarikan diri walaupun ketakutan kerana dibimbangi akan dikejar bidan muda yang sedang kerasukan itu . Lalu, aku cuba kuatkan semangat. Aku tahu aku mesti berani. Antan Piah dan Antan Ndu agak tenang. Kami memberi laluan kepada bidan muda yang terus memanjat tangga beranak tiga rumah itu. Dia terus menghentak2kan tangannya ke pintu sambil berkata sesuatu yang tiada siapapun memahaminya. Hentakannya amat kuat. Rumah seakan bergoncang. Tiada yang berani menghalang perlakuan bidan muda. Seakan semua yang ada sekadar menunggu dan melihat. Sesekali bidan muda mendengus dengan sangat kuat. Nafas bidan muda seperti orang yang dalam sakratul maut. Matanya yang merah menyala bagaikan mahu tersembul keluar dari kelongsongnya dan tidak berkedip walau pun sekali. Tiada sebarang reaksi dari dalam rumah itu. Aku sendiri pun cukup pasti bahawa tiada sesiapa pun yang ada di dalamnya. Sejak petang tadi aku tidak melihat sesiapapun di rumah itu.
Kami cuba menghampiri bidan muda. Ramai meminta dia bersabar. Ada juga yang menangis ketakutan. Kami melangkah setapak demi setapak ke arah bidan muda. Perasaan ingin tahu menjadikan kami berani. Tiba2 sahaja bidan memalingkan muka ke arah kami. Wajahnya terlalu menakutkan. Sungguh. Tiada perkataan yang mampu kutulis untuk menggambarkannya. Pian walaupun sudah berusia awal 20-an pada masa itu, tetapi agak penakut orangnya. Aku dan Antan Piah mengingatkan Pian , Kama dan Intan supaya bertenang. Sewaktu bidan muda mula melangkah ke arah kami, Pian menjerit dan terus cabut lari. Kami pun apa lagi, menghayun langkah seribu jugaklah. Bidan muda mengejar dengan cepat tetapi nasib kami baik kerana kakinya tersangkut pada akar langsat yang menjalar di situ. Dia tersadung. Jatuh dan terus terbaring kaku. Orang yang semakin ramai memenuhi halaman rumah itu mulai mengerumuni bidan muda. Dia terus kaku. Hanya nafasnya yang masih kuat dan kencang. Dua orang anak lelakinya cuba memulihkan semula bidan muda tetapi gagal. Dalam keadaan itulah pintu rumah dibuka oleh penghuninya. Balu yang menghuni rumah itu kelihatan bersahaja seolah2 tiada apa2 yang berlaku di halaman rumahnya. Bidan muda yang kaku diangkat naik ke rumah. Suasana kini semakin tenang.
Anak sulung bidan muda meminta salah seorang adiknya mengambil sebuku kemenyan khas kepunyaan bidan muda di rumah mereka. Kononnya, kemenyan itu pemberian Bidan Mak Lanjut. Dan hanya dengan asap kemenyan itu sahajalah yang kononnya dapat memulihkan bidan muda. Segala perbualan anak sulung bidan muda aku dengar dengan penuh minat. Ketika menunggu kemenyan itu sampai, tiba2 muncul anak gadis balu itu sambil ramah menegur orang2 yang berada di situ. Selang beberapa minit kemudiannya, muncul pula seorang lelaki yang tidak dikenali dari arah yang sama. Lelaki itu agak pendiam dan duduk mengasingkan diri di ruang tamu rumah. Semua yang ada saling berpandangan. Cakap2 yang kurang enak berlegar dalam kalangan orang2 dewasa. Mungkinkah benar bidan muda memang mampu mengesan sebarang maksiat yang berlaku di kampungku ? Bagaimana dia mengetahuinya ? Benarkah tadi bidan muda dirasuk semangat Bidan Mak Lanjut ? Semuanya tinggal tanda tanya hingga kini. Bidan muda pula pulih seperti sedia kala selepas tubuhnya diusap dengan asap daripada kemenyan 'istimewanya' itu. Apa tindakan penduduk kampung terhadap pasangan itu tidaklah aku ketahui. Maklumlah, itu bukankah kerja orang2 yang lebih dewasa .....?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan