Aku ke sekolah...
Sekolah rendah di kampung aku terletak kira-kira 100 meter dari rumahku. Orang kata, hanya sepelaung jaraknya. Sekolah itulah binaan yang paling besar ketika itu. Dan sekolah itu jugaklah satu-satunya binaan yang bercat di kampungku. Aku tak faham, sejak aku kenal sekolah itu sehinggalah ia dirobohkan untuk dipindahkan ke tapak yang baharu, warna catnya tidak pernah diubah. Tetap jugaklah dengan warna biru lautnya. Sekolah itu dibina selari dengan jalan raya saiz sedepa setengah orang dewasa yang melintang di tengah2 kampungku. Panjang binaan sekitar 100 kaki dan lebarnya sekitar 25 kaki. Bangunannya dibina menggunakan papan yang lebar2 dan tiang yang besar2. Ada banyak tingkap2 yang besar di kelilingnya. Hanya ada dua dinding yang bersifat kekal. Antara dua dinding itulah letaknya bilik guru dan guru besarnya. Setiap kelas dipisahkan dengan meletakkan almari2 buku yang sederhana besar ataupun, dihadang menggunakan rak2 buku. Terdapat lima buah kelas yang menempatkan murid darjah satu hingga darjah lima. Kami menyambung persekolahan tahap darjah enam di sekolah Pekan Karai. Di sebelah belakang bangunan, terdapat sebuah tapak perhimpunan seluas gelanggang bola tampar dan sebuah padang rumput yang luasnya sama besar dengan tapak perhimpunan tadi. Satu kawasan untuk murid2 bercucuk tanam turut disediakan. Jumlah keseluruhan pelajar tidak pernah melebihi 80 orang. Gurunya pula seramai lima orang. Aku adalah antara insan yang cukup berbangga pada sekolah ini. Di sini aku mengenal ABC. Di sini tempat aku pandai mencampur-menolak-mendarab-membahagi 1,2,3...Dan di sini jugaklah aku menjadi manusia...
Suatu hari mak kata, aku sudah cukup besar untuk bersekolah. Aku tidak berasa apa2pun. Disuruh sekolah, sekolah sajalah. Kata mak lagi, nanti aku pandai baca pandai mengira. Aku dengar saja tanpa faham sepatah pun. Tadika tiada lagi waktu itu. Malah perkataan tadika itu sendiri tak pernah aku dengar. Kalau aku ditanya, mungkin aku akan menyangka bahawa tadika hanyalah satu lagi bentuk permainan yang boleh aku kongsi dengan kawan2 aku. Mak kumpul duit dari hasil menoreh getah dan berbendang untuk menyediakan kelengkapan sekolah ku. Suatu pagi mak balik dari pekan mak bawa beg plastik merah yang agak besar. Mak panggil aku. Mak cium pipi aku. Mak kata mak dah belikan pakaian sekolah aku. Apa yang aku ingat, persiapan sekolah yang mak maksudkan hanyalah yang paling asas. Sehelai baju kemeja putih lengan pendek, sehelai seluar pendek biru gelap dan sepasang kasut putih yang diperbuat daripada getah mak padan2kan ke tubuhku. Jangan ditanya tentang stokin. Itu pakaian untuk guru besar sekolah kampungku. Lagipun seingat aku cikgu2 biasa pun tidak memakai stokin pada masa itu. Maksud aku cikgu di sekolah kampung aku, di tempat lain di luar pengetahuanku. Aku gembira dapat baju baharu. Bukan senang nak dapat sesuatu yang baharu waktu itu. Kerana yang serba baharu itulah aku menjadi bersemangat untuk ke sekolah.
Dua tiga hari sebelum sesi persekolahan bermula, abah bawa aku ke pekan Karai. Aku dibawa ke kedai gunting Saharum, kawan abah. Rambut aku dipotong pendek. Abah sempat juga bercerita tentang kenakalan aku pada tukang gunting yang 'banyak mulut' itu. Aku buat selamba seolah2 bukan nama aku yang disebut2kan waktu itu. Abah kata, aku ini anak yang paling nakal tak seperti abang2 aku yang lain. Satu perkara yang aku masih ingat sangat tentang tukang gunting yang seorang ini ialah, setiap kali mencukur pasti ada saja tempat yang terluka. Masa mandi, kepedihanlah aku. Maka, berguni2 lah caci maki aku pada Pakcik Saharum itu. Habis bergunting abah bawak aku jumpa abang dia di Seberang Karai. Abah bangga bercerita tentang aku yang akan mula bersekolah. Waktu itu aku kurang faham atas sebab apa abah perlu berbangga. Hanya apabila aku punyai anak dan berada dalam keadaannya dahulu barulah aku sedar dan mengerti...

Bersambung......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan