Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Ahad, 25 Julai 2010

Tanah di mana tumpahnya darahku


Zaman kecilku adalah zaman serba 'tiada' . Lampu letrik, air paip, jalan tar dan telefon jika ada tentu sahaja menjadi benda2 yang dianggap ajaib. Kereta memang ada-seingatku ada dua buah. Kalau dapat menaiki kereta , bagaikan mendapat menunggang naga. Setahun masih bercerita. Motosikal juga ada-barangkali jumlahnya tak lebih daripada jari sebelah tangan. Aku tak pasti bilakah kali pertama aku memboncengnya. Basikal menjadi pengangkutan terpenting masa itu. Setiap keluarga biasanya memiliki sekurang2nya sebuah. Begitu jugak abah. Basikal tua berjenama 'Religh' itu abah sayang seperti nyawanya. Basikal itu abah bawa ke kebun, ke pekan Karai, menziarah kematian atau kenduri kendara. Abah selalu membawa aku ke mana2 dengan basikal itulah. Kalau mahu bergerak lebih jauh, kami perlu menaiki bot berenjin dengan bayaran sekitar 10 sen ke 50 sen. Bergantung pada jarak yang ingin dituju. Bot itu kami panggil 'bot hijau' kerana warnanya yang hijau. Aku masih ingat, setiap kali bot itu merentas sungai sama ada ke hulu mau pun ke hilir kampung, aku dan kawan2 akan melompat2 kegirangan. Kami menjerit2, melaung2 dan melambai2. Aneh kan ? Begitulah kami. Perkara seremeh itu pun sudah cukup menghiburkan hati2 kami.

Dalam serba 'tiada' itulah aku membesar.
Aku seperti juga kawan2 aku di kampung ini tidak kenal erti kekurangan. Kami membesar sebagai lelaki lasak, kuat, berani dan penuh semangat. Kami sangat bahagia. Kami juga patuh dan menghormati orang yang lebih tua. Tidak pernah merungut tentang apa2 pun. Hubungan antara kami bagai isi dengan kuku, seperti aur dengan tebing. Semuanya adalah bersaudara. Waktu pagi ke sungai untuk mandi dan bermain bersama. Tengah hari kami berkumpul bermain di mana2 rumah yg luas lamannya. Kadang2 kami ke hutan mencari buah2 hutan, menjerat dan melastik burung. Kadang2 kami mencuri buah2 yang berpohon rendang di kebun orang... Bila malam kami mengaji. Mak dan abah akulah gurunya. Habis mengaji kami sambung main sorok2. Kami tak gentar dengan segala hantu segala polong segala setan yg bila2 sahaja mungkin mengganggu kami. Berjalan2 keliling kampung secara berteman mau pun berseorangan bukanlah suatu yang pelik bagi kami. Kami anak kampung yang berani. Kami jarang2 menangis. Jatuh basikal, jatuh dari atas pokok kerana terpaut dahan punggor, terpijak kaca, terpijak duri, disengat binatang atau serangga berbisa adalah perkara biasa bagi kami. Mengenangkan itu aku punya sebab untuk berbangga kerana dibesarkan dalam suasana yang serba 'tiada' itu...

Suasana kampungku sangat meriah jikalah ingin dibanding dengan apa yang ada hari ini. Oleh sebab pekan jauh dari kampung, maka terdapat empat buah kedai runcit yang beroperasi ketika itu. Anehnya, hari ini kedai yang ada hanya satu ! Masyarakat kampung hidup dengan aman. Kebanyakan perkara dilakukan secara bergotong royong. Mereka menebas hutan dan menebas pulau bersama2. Kemudian mereka bahagikan kawasan secara adil. Selesai urusan pembahagian kawasan, mereka bersama2 menanam jagung dan berbendang. Tidak pernah aku dengar sebarang perkelahian waktu itu. Waktu kenduri kendara semua penduduk menghentikan pekerjaan peribadi, sebaliknya berkumpul beramai2 di rumah yang bakal mengadakan majlis itulah. Setiap keluarga bawakan kelapa, beras, gula, garam, kopi, pucuk2 atau apa2 saja buat membantu tuan rumah. Ada yang tidak pulang ke rumah sehinggalah majlis selesai sepenuhnya. Keluarga jauh pula membawa tikar bantal bersama kerana mereka biasanya akan berada lebih lama ke tempat tersebut. Anak2 'bercuti' dari mengikuti persekolahan. Sekolah masa tu tak banyak kerenah. Mungkin memahami budaya masyarakat zaman itu. Penduduk kampung beramai2 menebang buluh, menebang pokok pinang dan menebang kelapa. Mereka bina lepau, tungku, tungkup dan bangsal beramai2. Bila semua kerja- kerja 'prasarana' selesai, mereka beralih pula kepada kerja2 memasak yang juga dilakukan secara bergotong royong. Tuan rumah hanya perlu melayan tetamu. Kerja2 lain tugas penduduk kampung.

Pabila Ramadan menjelang suasana menjadi terlalu indah. Sangat indah. Sangat meriah. Tiada sebarang kata yang mampu membayangkannya. Kami bermain sorok2, kami main 'menganto', main 'polis sentri', main meriam buluh, kami main 'combat' dan segala macam permainan. Masjid benar2 hidup. Moreh diadakan jauh lebih meriah berbanding dengan hari ini. Mungkin dahulu moreh itu dijalankan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Dan, keindahan ini mencapai puncak bila tibanya hari lebaran. Kalau mahu diceritakan tentang keindahan lebaran pada waktu itu, aku bimbang aku gagal menggambarkan keindahannya. Juadah yang dihidang cukup sederhana. Duit raya yang sekadar 5 sen ke 20 sen sudah cukup membuatkan aku-anak2 kecil- tersenyum seharian. Kami kumpul duit yang kami dapat. Bila petang kami berjalan kaki beramai2 ke pekan Karai yang jaraknya hampir tiga batu dari kampung kami. Kami berbelanja sakanlah kononnya. Beli pistol belerang, beli pistol air, beli dam ular dan makan roti canai atau kundas mamak Dollah, habislah semua duit kami. Menjelang maghrib kami pulang. Pada wajah kepuasan terbayang. Sungguh ..keindahan itu tak mampu kulupa sampai bila2 pun...

1 ulasan:

kelisa_samudera berkata...

awok cuma menempuh separuh dari pengalaman di atas. tapi mmg, dulu segala2nya indah. kalo dikenang mau keluor ayor mate yop.