Nota : Ini hanya untuk rekod peribadi. Tiada niat selainnya..
Apa yang aku lalui sepanjang 5 bulan ini, kuinsafi sebagai sesuatu yang merugikan. Aku sebenarnya sedang mengundang penyakit. Aku juga membina sifat bermalas-malasan dalam diri. Dan, akulah yang memadam warna-warna dalam hidupku. Nah...! Aku punya pilihan. Memilih untuk menjadi 'sampah' atau kembali bangkit menggilap mutiara hidupku - walau tidak setinggi manapun nilainya.. Sesungguhnya untung nasib diri adalah tanggungjawab sendiri. Memilih yang baik itu adalah amanah..!
Aku perlu bangkit..!
Petang itu.. sebaik bangun dari tidur selepas zohor, aku bingkas bangun. Aku menentang keinginan bermenungan di tilam empukku. Mencapai tuala dan terus membasahkan badan sekadar untuk menyegarkan. Asar setengah jam lagi. Aku ke rak buku. Buku-buku yang belum kubaca, kutarik satu-satu. Sebuah buku aku letak di kepala katil dan 4 lagi diletak di atas meja studi. Minggu ini mesti aku habisi. Mesti..!
Seusai solat, aku terus ke laman rumah. Pokok-pokok bonsai yang terbiar aku amati satu-satu. Pudar hijau daunnya menandakan ketidaksuburan. Aku rasa berdosa kerana membiarkan 'mereka' sering lapar dan dahaga. Bukankah pokok-pokok itu juga berjiwa ?. Sebaik aku sirami pokok-pokok itu.. bau tanah meruwap ke udara.. lalu hinggap ke hidungku. Ahh.. baunya menenangkan jiwa. Semut Rangrang bertempiaran memanjat batang pokok juga ke tebing pasu. Gelagat semut-semut itu mengundang senyum. Rangrang itu ada baiknya kerana sedikit sebanyak memelihara pokok dari serangga perosak tapi kalau terlalu banyak, mengancam kesihatan pokok. "Korang sabar dulu.. esok pagi aku halau Rangrang ini dengan kulit-kulit telur.. Sabar dulu..", bisikku pada bonsai-bonsai itu. Aku berasa mereka semua tersenyum !
Tepat jam 6.03 petang aku sudah pun bercekak pinggang di tepi trek balapan stadium. Beberapa orang lelaki dan wanita sudahpun kelihatan berpeluh sewaktu melintas di depanku. Alhamdulillah.. akhirnya aku kembali di sini. Target asal hanya 5 pusingan berjalan laju tapi akhirnya berlarutan ke-10 pusingan.. ya.. seperti 5 bulan yang lalu. Aku sudahi petang itu dengan berlari pecut sekitar 200 meter. Aku sudahi petang itu dengan senyum sendiri. Mengapa begitu lama aku tinggalkan keseronokan ini..?
Malam itu aku berasa lebih bersemangat dan bertenaga. Rutin 5 bulan yang lalu akan aku lengkapkan malam ini. Aku memilih bahan bacaan yang agak ringan - Novel Fiksyen 302 karya Ramlee Awang Murshid - 492 muka surat. Aku terus membaca helaian demi helaian. Teknik dan plot yang dianuti penulis ini tidak sukar dijangka. Lebih 10 buah novel hasil buah tangan penulis ini sudah kubaca. Ini juga membuktikan bahawa Ramlee Awang Murshidlah satu-satunya novelis terkini yang mampu memikat hatiku. Fiksyen 302 habis kubaca ketika jarum jam menunjuk ke angka 3.15 pagi. Sekali lagi aku senyum sendiri..
Kini seminggu telah berlalu.. momentum 'kembali' ini masih mampu aku kekalkan. Malah, kunci blog kesayangan ini juga telah kubuka.. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa...
Ya Allah.. Pulangkanlah aku.. bagai mula..
7 ulasan:
Saya juga peminat novel karya ramli awang murshid :)
Assalamualaikum Adikku...
Kita meminta dari DIA, dan DIA tidak pernah lokek untuk memberi. Cuma, mungkin kita kena mengemukakan SABAR sebagai bayarannya...
5 bulan?..fuhh memang dah tebal sgt tu.. selamat kembali...
welcome back... semoga terus bersemangat waja ek...
dana pun suke novel RAM...sume novel dia ada dlm simpanan
RAM memang yg terbaeeeek...
begitu juga en Mad antara yang terbaik..jgn diabaikan apa yg dianugerahkan kepada kita...
welcome back!
ita plok dah lama habis baca buku tu...
cikmad datang lagi..!
*nada iklan ding dang*
Catat Ulasan