Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Rabu, 15 September 2010

Budaya Dusun Lotud, Sabah agaknya.. bahagian 1

01.05.1993
Kampung Mondou, Tuaran, 

Antara tarikh yg bersejarah dalam hidup aku. Kali pertama menginjak bumi Sabah. Datang sebagai lelaki yg bakal digelar suami. Membawa sebuah tanggung jawab yang bakal dipersoalkan oleh ibubapa juga kedua nenek dan datuk bakal isteri aku. Aku juga perlu menyakinkan mereka bahawa waris mereka yang satu2nya itu melakukan pilihan yang betul dalam menentukan aku ini sebagai pemimpin dalam hidupnya. Dan aku sesungguhnya akan melakukannya. Namun catatan ini tidak pula bakal mengabarkan soal aku dan kehidupan peribadi tetapi sebagai mengongsi cerita tentang sesuatu yang barangkali asing bagi kebanyakan kita yang Melayu khasnya, rakyat semenanjung umumnya.

Suatu majlis agak ringkas diatur oleh bakal kedua mentua. Kami pulang ke kampung di Kampung Mondou yang hampir semua didiami suku kaum Dusun iaitu suku kaum pribumi terbesar di Sabah. Mereka penganut Kristian yang taat, disamping bersikap sinis terhadap individu yang berasal dari Tanah Malaya. Mereka tidak menyebut nama Malaysia. Apakah mungkin mereka tidak berasakan bahawa mereka dan aku dalam negara yang satu ?. Namun aku hadapi semua kecanggungan dengan bijak. Malah dalam waktu yang singkat aku berasakan suatu penerimaan yang agak menarik. Aku bersendirian. Aku tidak mampu membawa kedua orang tua atau sesiapa pun.  Aku bersikap positif. Maka itu semuanya menjadi mudah. Selisih budaya antara kami menarik minat aku. Sebagai orang yang suka akan sesuatu yang baharu, segala yang dihidang di mata diamati  sungguh-sungguh.

Sehari sebelum majlis pertunangan aku dan bakal isteri, persiapan lengkap dibuat. Aku diberitahu bahawa seekor kerbau jantan bakal ditumbangkan. Lantaran kami Islam, maka kerbau itu akan disembelih oleh seorang Islam suku kaum Bajau dari kampung seberang. Kerbau ditarik ke pinggir laman rumah nenek datuk bakal isteri. Aku berdiri di tingkap. Aku ingin memastikan kesahihan tukang sembelih itu benar-benar seorang Bajau dan seorang Islam. Benar. Orangnya berkopiah dan cara sembelihan juga benar. Aku berpuas hati. Cuma aku tertanya-tanya tujuan  mereka menadah darah yang memancut laju dari leher kerbau yang terkuak itu. Hampir separuh baldi terisi. Kemudian mereka cepat-cepat membawanya menuju ke tempat memasak di belakang rumah. Apabila kerbau diyakini mati, mereka menimbunkan kayu-kayu kering ke atas kerbau itu. Mereka juga meletakkan pelepah-pelepah kelapa kering dan ranting-ranting kecil sehinggalah tubuh si kerbau hilang dari pandangan. Selonggok kayu, pelepah kelapa dan ranting-ranting kecil yang kering yang selebihnya diletak tidak jauh dari situ. Sesuatu yang pelik bagi aku.Dan aku terus memerhatikan semuanya dari jauh.

Aku menanti kerja-kerja seterusnya dengan hati yang teruja. Malang juga kerana aku tidak punya kamera untuk merakami detik itu sebagai simpanan aku. Segala pertanyaan yang menyerbu di kepala aku simpan dan bakal aku tanyakan kepada bakal isteri. Seorang lelaki meninjau-ninjau sekeliling kerbau yang 'dihilangkan' itu. Dia kemudian mengarahkan supaya api dinyalaka. Dengan cepat api marak dan menjulang tinggi. Ada ketikanya mereka melemparkan kayu-kayu kering untuk memastikan api terus marak. Sambil itu mereka menikmati air tuak yang diperbuat daripada nira kelapa yang disediakan. Mereka panggil air yang boleh memabukkan ini sebagai 'bahar' . Diminum untuk mendapat berkat. Itu kepercayaan mereka. Waktu api mulai padam, aku lihat kerbau tadi telah menjadi kehitaman dan terkangkang. Dengan susah payah, mereka membalikkan tubuh kerbau dan proses awal tadi berulang lagi. Selesai sudah kerja-kerja membakar kerbau. Kerbau yang siap dibakar tadi kemudiannya diheret ke tempat melapah. Kulit disiat dengan teliti. Kulit yang disiat tadi dicuci lalu dilempar ke dalam periuk besar yang berisi air yang mendidih. Ketika itulah baru aku tahu bahawa rupanya darah yang ditadah tadi juga dimasukkan ke dalam periuk itu. Darah itu apabila dimasuk ke dalam air yang mendidih  akan cepat membeku. Bergumpal-gumpal seperti organ hati yang dimasak. Beberapa helai daun yang dikenali sebagai 'radap' dimasukkan untuk menghilangkan bau dan bertindak untuk menghasilkan aroma harum dan rasa yang sedap. Apabila hampir masak, garam dan serbuk perasa dimasukkan. Inilah yang mereka panggil  sup. Sebelum mereka menjamahnya, sebekas sup itu diasingkan untuk dihidang kepada mereka yang bakal ditunangkan.

Sewaktu aku dihidangkan sup itu, aku menolak untuk menjamahnya dengan baik. Aku menerangkan sebab penolakan itu atas hukum Islam yang melarang aku  untuk menikmatinya. Mereka ternyata menghormati aku. Aku kemudiannya diminta pula menjamah sedikit darah yang sudah dimasak tadi dan sudah dipotong dalam bentuk kuib-kuib kecil. Menurut mereka, pasangan yang akan ditunangkan disyaratkan menjamahnya. Sekali lagi aku dengan rasa serba salah menolak dengan baik. Ibu mentua mngajari aku cara penolakan yang betul dan sopan. Caranya ialah dengan menyentuh makanan atau minuman yang diunjuk kepada kita dengan hujung jari.  Dengan sentuhan hujung jari itu, maka kita sudah dianggap menerimanya. 

Seperkara lagi yang ingin aku kongsikan  ialah tentang serba sedikit bentuk upacara pertunangan itu berlangsung. Aku dihadapkan di hadapan tujuh orang ketua kampung. Aku ditanya itu dan ini. Segala syarat aku terima sahaja. Biar semuanya mudah. Itulah pesan bakal mentua aku sehari sebelum itu. Aku turuti nasihatnya dengan segala keakuran. Aku sedar bahawa aku terikat pada Undang-undang Anak Negeri Sabah yakni sesuatu yang bakal diadili oleh mahkamah Anak Negeri. Undang-undang ini diharapkan sebagai pelindung kepada anak bumi Sabah. Persetujuan itu ditandai dan direkodkan dalam satu surat perjanjian yang aku dan bakal isteri turunkan tanda tangan bersama. Dengan turunnya tanda tangan itu, maka  status pertunangan disahkan.  Upacara yang seterusnya tiada banyak bezanya dengan apa yang kita amalkan di sini. Cuma bezanya, mereka memeriahkan majlis itu hingga ke pagi dengan bermain judi sambil minum 'bahar' di dalam 'tukil' dan menyedut 'tapai' di dalam 'tajau' menggunakan penyedut yang diperbuat daripada buluh yang dipanggil 'sumbiling'. Kadang-kadang aku berasa bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman yang menarik ini. Segalanya tersimpan dan terus kekal dalam kenangan....
`

1 ulasan:

DKosongLapan berkata...

untungle mike chorr........
dapat peluang kenei budaya oghang yg selain kat semenanjung nii....lagi satu.....mike untong paseii asei ke sane je naik belon.....asei kesane je naik belon.....ate mane ndak dibuatnye....udah jodoh oghang sane........