Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Selasa, 21 September 2010

Janji Senja kepada Malam..

Ramadan yang terakhir  yang lalu aku pulang ke kampung. Pulang selepas dua bulan menyibukkan diri dengan kerja-kerja di rantau orang. bekerja 6 hari seminggu dan kadangkala seminggu penuh menjadi kekangan untuk aku menziarah abah tercinta. Adakalanya amukan rindu pada abah pada kampung halaman mengundang sebak. Bila waktu-waktu begitu, biasanya aku lebih suka menyendiri sambil mencari kenangan yang benar-benar bisa sahaja membuat aku menangis...

Hanya dalam 2 bulan itu, berlaku perubahan fizikal yang jelas pada diri abah. Sebaik terpandang abah yang menunggu di muka pintu, aku terkesima terus. Mengapa dengan abah ? Abah kelihatan terlalu uzur. Badan abah kurus dan wajahnya bagai hanya dibalut kulit-kulit yang kering dan kusam. Lebih menambah ketuaannya ialah kerana gigi-gigi abah patah semua sejak sebulan yang lepas. Memang patut pun . Abah kini berusia 85 tahun. Abahlah insan tertua di kampungku. Begitu pun abah mengaku dia masih sihat. Abah semakin sihat selepas berhenti merokok beberapa bulan yang lalu atas desakan cucunya yang berkerja sebagai doktor di Hospital Kuala Kangsar. Dalam usianya itu, abah tiada menghidapi sebarang penyakit. Abah masih dikehendaki memegang tanggungjawab sebagai imam tua di masjid. Abah ke Pekan Karai dengan motornya dua kali sehari. Sekali pagi sekali petang. Dia kebosanan duduk-duduk saja di rumah.

Tapi hakikatnya abah sudah tua. Sewaktu aku menyantuninya, abah memaut bahuku. Abah berlucu. Abah ketawa. Abah mesra. Hanya akulah satu-satunya anak yang berani bergurau dengan abah. Dan hanya akulah juga satu-satunya anak abah yang abah selalu usik dan bergurau. Tiada yang lain. Sebab abah garang dan tegas orangnya. Tapi kini abah sudah tua. Terlalu banyak perubahan pada fizikal dan sikap abah. Entah apa jadahnya, aku kerisauan akan perubahan itu. 

Sewaktu abah tertidur pada petang 2 Syawal itu, aku menjenguk ke biliknya. Perlahan-lahan aku masuk dan duduk di tepi katil abah. Di situ aku tatap wajah tua abah. Tanpa sedar air mata aku mengalir. ..hati berbisik," Mad sayangkan abah..". Namun suara itu sekadar bergema di dalam dada. .. Tahukah abah tentang  begitu tingginya kasih aku kepadanya ? Dan yang paling menyakitkan jiwa ini ialah apabila aku cukup sedari....Mungkinkah  aku bersama abah lagi pada Syawal  yang akan datang ? ..." Mampukah Mad menghadapi kenyataan yang pasti datang itu, abah ?"... Sesungguhnya, janji senja kepada malam tidak pernah mungkir....Abahhh...

Ya Allah, panjangkanlah umur ayahandaku...kurniakanlah nikmat kesihatan yang berpanjangan kepadanya..ampunkanlah segala dosa-dosa ayahandaku Ya Allah..ampunkan segala dosa-dosa ayahandaku yang lalu, kini dan akan datang Ya Allah...dengarlah rayuan hamba-Mu yang terlalu kasih akan ayahandanya...Amin....

4 ulasan:

tinuj berkata...

Salam yop,

Moge abah mike sihat wal afiat sepanjang mase..

a.samad jaafar berkata...

testing over hihihi

tinuj berkata...

Salam yop,

Ape ke heinye semalam teman ngepos komen dalam ruanganni tak maunye keluo, haghini elok beno pulak...

Fuziani JSR berkata...

Setiap antara kita akan tiba jua di garisan penamat... mungkin lusa, mungkin tulat...mungkin.. mungkin.. banyaklah mungkinnya. Semoga Abah akan bersama kita lebih lama lagi...