Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Ahad, 26 September 2010

Mengumpat

Pada tahun-tahun akhir hayat ibuku, ibu sering benar mengeluh dan merintih apabila mengenang akan dosa-dosanya. Ibu adalah satu-satunya insan yang paling kuat beribadah yang aku kenali secara dekat setakat ini. Ibu rajin bersedekah, berzikir pada waktu senggangnya, membaca al-quran secara konsisten, apatah lagi bersolat. Ibu kesal yang terlalu-lalu jika terlewat bersolat. Biasanya ibu sudah siap di sejadah, bersolat sunat dan berzikir sebelum masuknya waktu solat. Aku terlalu kagum dengan sikap ibu yang satu ini. Tapi ibu tetap mengeluh dan merintih mengenang akan dosa-dosanya. Antara yang paling kerap disebut ialah tentang dosa mengumpat. Ibu kesal mengapa dosa yang satu ini terlalu payah untuk dihindar. Ibu kesal apabila ada waktu-waktunya, dia seolah-olah terpaksa mengumpat. Mendengar umpatan pula  menjadi seperti ulam dalam makanan. Pernah aku melihat ibu menangis. Ibu inginkan sebuah masyarakat yang sempurna. Apabila sempurna maka yang bakal disebut nantinya tentulah yang baik-baik dan yang manis pula. Apa sebenarnya mengumpat itu ? Mengapa begitu  sekali gerunnya ibu pada dosa-dosa mengumpat ? 


Dari segi bahasa, mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.  Dari sudut agama pula, Rasulullah S.A. W. menjelaskan melalui sabdanya  yang bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim) Mengumpat boleh berlaku sama ada disedari ataupun tidak disedari oleh pelakunya Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun  pelakunya benar-benar bertaubat sekalipun. 


Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, maka ia disamakan seperti memakan daging saudara seagamanya. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan pelaku kelak menerima pembalasannya di akhirat. Maka,  Rasulullah S.A.W. berpesan melalui sabdanya yang bermaksud "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya". "Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).


Rasulullah S.A.W. dalam memberikan peringatan kepada umatnya telah bersabda yang maksudnya, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya!, janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun  berada di dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud) Sesungguhnya orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud, "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.


Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat kelak berlaku seorang hamba yang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.  Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab, "Semua itu adalah kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".  Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Golongan inilah yang dikatakan sebagai  orang muflis di akhirat nanti.


MasyaAllah.... wajar dan sepatutnyalah ibu terlalu gerun akan dosa mengumpat ini. Tentulah ibu maklumi akan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah. Namun gerunkah aku juga kalian akan dosa yang satu ini...? Sejauh manakah kita mampu lari daripada terlibat dalam budaya yang seolah-olah terlalu biasa dalam kehidupan harian kita ini ?  Dalam kebanyakan situasi, kita umpat seseorang yang kononnya terlibat dalam dosa sedangkan ketika itu, kita sendiri mencipta dosa. Malah barangkali dosanya pula  terlalu besar  berbanding dosa yang dilakukan oleh orang yang kita umpat  !.  Sejujurnya aku mengaku, aku ini juga sering terjerumus..... Eerr... Siapa yang aku umpat hari ni ye...? 

3 ulasan:

tinuj berkata...

Salam yop,

Pepagi lagi mike dah keluo dengan kerahmatan, Alahamdulillah enteghi mike kali ni menambahkan lagi santapan rohani di pagi yang ceghiye ini. Lain pembawaknye anak tok imam kiteni ilmu teman ijak sedalam itu nak dilabunkan.Tk

kelisa_samudera berkata...

insaf.

DKosongLapan berkata...

dulu oghang selalu kaitkan mengumpat dengan oghang betina je.....tapi sekaghang ni....yang jantan tu kekadang lebih teghuk daghi oghang betina....ishhh