Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Isnin, 7 Februari 2011

Kisah Parang Terbang dan Panglima Mohd Salleh bin Abdul Karim

Kisah ini dipetik untuk dikongsi bersama daripada sini. Maaf kepada pemilik Blog Keris Warisan kerana saya gagal menghubungi saudara untuk mendapatkan keizinan saudara bagi menerbitkan kembali artikel ini. 

Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim dilahirkan di Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir, Muar, Johor pada tahun 1916. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Ara Pasung, Pontian, Johor.

Antara guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.

Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II.


Panglima Salleh (tengah) bersama anggota Polis Marin (Foto Berita Harian)


Beliau adalah pemimpin Tentera Selempang Merah banyak berjasa halang kekejaman askar Parti Komunis Malaya (PKM) di Muar dan Batu Pahat

Sumbangan Panglima Salleh amat besar, ketika komunis mengganas dengan menyeksa dan membunuh kejam penduduk tempatan sekitar Muar dan Batu Pahat, tokoh itu bangun 'mengamuk' menentang pengkhianat negara itu bagi mempertahankan maruah bangsa.

Tentangan hebat diberikan Panglima Salleh dan pasukan 'Tentera Selempang Merah' yang ditubuhkannya menyebabkan nama tokoh itu digeruni komunis sehinggakan mereka tidak berani lagi bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan sesuka hati.

Apa yang mengagumkan adalah kesanggupan Panglima Salleh 'turun padang' untuk bertempur dan memerangi sendiri askar komunisdan bukan sekadar memberi arahan atau memerintah , beliau tidak takut mati malah sanggup mempertaruhkan darah dan nyawanya sendiri demi membela agama dan bangsa.

"Riwayat hidup Panglima Salleh bermula apabila beliau dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar pada 1916," beliau seterusnya memulakan kisah perjuangan Panglima Salleh menentang komunis demi membela agama, bangsa dan negara.

Keperwiraan Salleh mula diasuh sejak kecil apabila beliau mula menuntut ilmu kepahlawanan daripada beberapa pendekar di Pagoh antaranya Haji Hussein, Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad ketika beliau berusia 13 tahun.

Ketika usia mudanya itu, beliau dikenali sebagai seorang yang agak 'nakal'. Ada cakap-cakap mengatakan dia pernah mencuri, bagaimanapun dia menyara hidup dengan menjadi peraih yang mengutip tanaman penduduk kampung untuk dijual di Batu Pahat.

Akan tetapi, kehadiran tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 mula menggugat kehidupannya lalu beliau berpindah ke Seri Medan yang menjadi lubuk Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya ke Parit Gantung, dekat Lopiak.

Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Berikutan itu, Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.

Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.

Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan. 

Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis.

Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.

Penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada suku Banjar dan Jawa mula percaya yang kehilangan saudara mereka adalah angkara komunis berikutan mereka enggan tunduk kepada perintah dan arahan pihak terbabit.

Pihak komunis pula mengesyaki penduduk Mukim Empat berpakat dengan tentera Jepun untuk memerangi mereka menyebabkan mereka mula menangkap penduduk yang disyaki seterusnya dihukum bunuh.

Kemelut itu akhirnya menyebabkan penduduk tempatan mula menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha menentang komunis. Penduduk juga mula bangkit membela diri dan pembunuhan balas antara komunis dengan penduduk Mukim Empat semakin memuncak.

Ketika tentera Jepun di ambang kekalahan, komunis semakin bermaharajalela di Johor. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Pertemuan Salleh dengan seorang tokoh iaitu Haji Kadri pada petang 4 April 1945 akhirnya mula membenihkan semangat juang demi membela agama, bangsa dan tanah air di dalam sanubarinya.

Kesedaran tulus itu menyebabkan Salleh mula bangkit menentang komunis. Dengan pedang pusaka Raja Riau disisip di pinggang, berpakaian serba hitam, Salleh mula melangkah gagah memasuki gelanggang perang bersama doa dan bacaan ayat suci yang dibaca berulang kali.

Penyertaan Salleh dalam penentangan terhadap komunis menyebabkan namanya dicalonkan Haji Kadri supaya memimpin Persatuan Muhammadiah selepas pemimpin sebelum itu, Ijam Ahmad menarik diri.

Walaupun pada mulanya ada ahli tidak bersetuju dengan pencalonan Salleh berikutan ‘kenakalan’ tokoh itu ketika muda, akhirnya semua ahli akur untuk menerima Salleh sebagai pemimpin persatuan itu.

Ini berikutan Salleh dikenali sebagai seorang yang hebat dalam ilmu persilatan dan tinggi ilmu batin malah sikap gagah berani tokoh itu dilihat amat sesuai untuk mengepalai pasukan perang menentang komunis.

Sebaik dilantik, Salleh mula menyusun strategi dan mengumpul anak muda yang tidak gentar atau lemah semangat untuk bersama-samanya bertempur. Anak muda itu diajar amalan tertentu bagi menguatkan aspek kebatinan masing-masing.

Seterusnya di bawah pimpinan Salleh, serangan demi serangan mula dilancarkan pasukannya yang turut digelar 'Tentera Selempang Merah'. Serangan Tentera Selempang Merah terhadap komunis tercetus di seluruh Muar dan Batu Pahat.

Selain serangan secara berpasukan, Salleh juga bertindak berani apabila berbasikal seorang diri hampir setiap malam semata-mata untuk mencari komunis bagi dibunuh dan dicantas kepalanya.

Di bawah bimbingan Salleh, semangat perjuangan di kalangan penduduk ketika itu amat berkobar-kobar dan mereka mula merancang satu serangan besar-besaran terhadap komunis di Bandar Penggaram.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dihalang Datuk Onn Jaafar dan tokoh politik itu sebaliknya cuba mengaturkan perdamaian antara pihak Salleh dengan komunis. 

Lalu pada 15 September 1945, pada satu pertemuan di Tangkak, Muar, akhirnya pemimpin PKM dan Salleh akur untuk mengadakan perdamaian selepas tiga hari berbincang.

Bagaimanapun, perjanjian damai itu akhirnya dikhianati komunis apabila mereka terus melakukan angkara dan membunuh kejam penduduk tempatan terutama apabila Jepun menyerah kalah.

Pengkhianatan itu segera membangkitkan kemarahan Salleh dan beliau kembali mengumpul pasukan Tentera Selempang Merahnya untuk kembali menentang komunis Bintang Tiga itu. Serangan berterusan dan semakin ramai komunis yang maut di tangan pahlawan itu.

Jasa Salleh dalam usaha menghapuskan komunis menyebabkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim memberi gelaran 'Panglima' kepadanya pada 26 Disember 1945 malah beliau turut dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.

Selepas menabur begitu banyak jasa terhadap agama, bangsa dan tanah air, Panglima Salleh akhirnya meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 iaitu selepas hampir dua tahun negara beroleh kemerdekaan. 

Tokoh pahlawan itu meninggal dunia akibat penyakit bengkak paru-paru sekali gus meninggalkan nama dan keperwiraannya sebagai sebuah kisah pejuang ulung yang meniti daripada bibir ke bibir.


Komunis terkejut tubuh tak lut peluru 


SELAIN semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu.

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa.

"Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil malah boleh mengghaibkan dirinya.

"Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis," katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya 'Panglima Salleh Selempang Merah' yang diterbitkan pada 1988.

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran.

"Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasidan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja.

"Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri," katanya.

Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbangmencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran.

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api.

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan.

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi.

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya

"Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang.

"Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan," katanya.

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka. Dan semenjak itu ada yang mengatakan bahawa Panglima Salleh tidak lagi kebal tetapi masih dilindungi Allah semasa berperang.

PROFIL: Salleh Abdul Karim
Gelaran lain: Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling
Tahun lahir: 1916
Tempat lahir: Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor
Tarikh meninggal: 21 April 1959
Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Muar dan Batu Pahat, Johor.

18 ulasan:

cikceriacorner berkata...

salam..

abg mad..

terima kasih utk info ni..bestla kisah sejarah...perjuangan org dulu2 memang kental dan semangat utk mempertahankan agama,bangsa dan negara..

Cikgu Nurin berkata...

Orang zaman dahulu, walau tak sekoah tinggi, tapi ilmu tinggi..mereka berjuang dengan cara mereka sendiri...

Aku Dan Teksi berkata...

Semasa saya duduk johor,berbagai cerita saya dapat tentang P.saleh ni(ayah saya org.pontian).Kisah-kisah 13 may,juga menarik,ceritanya.

ckLah@xiiinam berkata...

ckLah pun sambung komen dari entri lalu.

Dalam buku Sejarah (yg sedang ckLah ajar sekarang) emang hanya 'sekelumit' dinyatakan tentang kiayi Salleh, walaupun ada gambar beliau. Apabila ckLah cuba bercerita lebih...murid semua menganga. Sebagai guru Sejarah, sebenarnya ckLah tak puas hati dengan sukatan Buku Teks kita. (Peristiwa 15 Mei, lagsung tak dinyatakan dari buku ting 1 sampailah 5-cuma disebut sebaris menyatakan 'Mageran menubuhkan RUKUN NEGARA selepas Peristiwa 13 Mei. Cikgu tak dibenarkan bercerita lanjut pasal 13 Mei)Kalau semua murid Melayu senang, ckLah basuh habis-habis. Tapi keadaan sekolah ckLah lain. Silap sikit, ibu bapa mengadu ke Kementerian.


....agaknya, kalau cklah cerita kereta abang Long yang sarat dengan beras dan bahan makanan Bapa ckLah boleh melepasi tahanan komunis di Batu Pahat...kerana komunis 'tak boleh nampak', mau dema bebudak Cine dan Kelin tu kata ckLah gila...

hari ni ckLah tercerita dengan mereka, bapa cklah telah menebang habis kebun ubi seorang jiran kerana dituduh bersubahat dengan komunis. Semacam dema pandang ckLah...dan ckLah bawa 'selempang merah' tu dalam kelas...

a.samad jaafar berkata...

cikceria corner > saya sendiri suka membaca dan mendengar kisah2 dedulu.. lalu membandingkan kehidupan kita pada hari ini

a.samad jaafar berkata...

cikgu nurin > org dedulu apabila berguru..mereka istiqomah dan bersungguh2..mereka sedar ttg pentingnya menjadi org yg berilmu..

a.samad jaafar berkata...

sahabatku aku dan teksi > saya mengulang membaca buku 13mei karya tunku abdul rahman..terlalu byk persoalan yg timbul daripada peristiwa itu..

Abang Jonni berkata...

agak-agaknya lah.... silat zaman skrg... masih sama tak ngan yg dulu-dulu...


kadang2 aku terfikir....

a.samad jaafar berkata...

abg jonni yg best > kalau tanya aku.. jawapannya 'TIDAK'..

ckLah@xiiinam berkata...

Ayat ckLah salah tu..
Sepatutnya 'kereta abang Long bapa ckLah yg sarat dengan beras....'

ghost writer berkata...

ada di antara pejuang tanahair yang kita lupakan dan terlupa sejarah perjuangan mereka..

Abhamz berkata...

salam, kisah yang sangat menarik dan perlu diketahui oleh generasi baru....

eMMe berkata...

huhuhuhu...tak baca, tak minat sejarah, n panjang sangat, mood saya down minggu ni, huhuhuh....

toyolkiut berkata...

sungguh luar biasa..
kelebihan yg d anugerahi Tuhan..
jd rentetan sejarah yg abadi buat tatapan generasi kini..

POHPALEH BURGER berkata...

setau aku, kalo tak silap ayah aku penah menuntut ilmu selendang merah ni.. parang terbang tu kalo tak silap diarang panggil ilmu parang terbang...

Tanpa Nama berkata...

Sehingga kini saya masih tercari2 asal keturunan saya..saya adalah cucu bongsu daripda bekas isteri ke3 Panglima Saleh ini.masih belum mngetahui mengapa dan kenapa arwah nenek saya diusir sehelai sepinggang oleh isteri tua beliau..apa2 pun motifnya...hanya doa yg mampu dititipkan buat arwah semua..semoga roh mereka tenang dan aman di sana..Aamiinn..

Tanpa Nama berkata...

alfatihah buat guruku Kiyai Salleh bin Abdul Karim juga anak muridnya guruku Abu bin Derasan.

Tanpa Nama berkata...

salam tuan...

tun pun ada sama..leh tau gambar tu tahun bila...jauhnya tun merantau...kalau nak kata tun sbg polis yang iring kiai salleh tak logik...tun tak pernah jadi polis...tapi amalan tun dari kecik n pantang dia sama dengan selempang merah...

gie7