Seribu Penghargaan Buat Mereka Yang Sudi...

BLOG ENTRI RENCAM DARIPADA AKU... JEMPUT KE SANA YE..

Ahad, 19 September 2010

rOda kehidupan

Sekitar penghujung 1970-an :
Lima buah keluarga di lima buah rumah adalah 'bangsawan' di kampung aku. Kehidupan mereka mewah. Rumah mereka terhias indah.  Hanya di lima buah rumah ini terdapat radio dan tv. Maka di lima buah rumah inilah kami yang masih kecil selalu bertandang untuk menonton tv mendengar radio. Kadang-kadang kami bagai mengemis menagih simpati    tuan rumah supaya mengizinkan kami masuk. Kami juga ingin berhibur. Ada juga rumah yang mengenakan bayaran 5 sen setiap kali kami masuk. Ada yang meminta kami mengangkat air barang sebaldi dua dari sungai. Dan ada pula yang mengherdik kami. Teringatkan itu kadang-kadang aku terasa sedih kerana akulah yang selalu kempunan dan menjadi mangsa 'bangsawan' kampung.

Aku dari keluarga yang paling miskin waktu itu. Bayaran 5 sen terlalu mahal bagi aku. Pernah suatu malam aku diminta mengangkut air dari sungai yang jauh daripada rumah si 'bangsawan' sebagai syarat untuk aku masuk ke rumahnya.   Aku turutkan dengan buru-buru demi siri 'Combat' kegemaranku. Aku berlari mencari baldi ke rumah, berlari lagi ke sungai lalu tergopoh gera ke rumah si 'bangsawan'. Apabila sampai di tangga rumahnya, kawan-kawan keluar di muka pintu seorang demi seorang. Tahulah aku.. aku terlepas siri 'Combat' itu lagi. Kawan-kawan ketawakan aku. Aku berlari ke sungai. Aku menyelam dan merendam tubuhku sambil melayan rajuk hatiku. Pernah  aku dibenarkan menonton tanpa apa-apa bayaran pun, tapi anaknya pula tidak berpuas hati. Sepanjang menonton diejek-ejeknya aku. Berkali-kali aku disiku. Berkali-kali aku dicubit. Aku hanyalah anak kecil yang tidak kenal erti dibenci tidak tahu makna malu. Terus menonton sambil menahan sakit disiku menanggung perit dicubit. Pernah juga aku berpaut pada gelegar di bawah rumah si 'bangsawan' untuk menonton siri 'Bionic Women' kegilaan masyarakat ketika itu melalui celah-celah lantai rumah mereka. Untuk membayar 5 sen..aku tidak mampu. Begitu payahnya kehidupan namun aku tidak pernah tahu mengeluh apatah lagi untuk meratapi kesusahan itu. (Perlu juga disebutkan di sini, keluarga kami keluarga yang besar, maka jarang-jaranglah emak dijemput ke majlis kenduri kerana kononnya anak emak ramai..kuat makan pulak tu !)
                                                                   
                                                                 *******************************
Petang 12 September 2010 :
Petang ini aku kembali 'mencari' kelima-lima rumah si 'bangsawan itu. Rumah yang pertama yang aku jejaki ialah rumah yang paling berharta suatu masa dulu. Kini dihuni oleh anak tunggal si pemiliknya. Malangnya, anak yang tunggal itu seorang penagih dadah tegar. Sejak bapanya meninggal, kehidupan mereka benar-benar berubah. Si anak menjual kesemua tanah pusakanya demi menanggung keperluan mendapatkan bekalan dadah. Ibunya pernah diugut bunuh oleh anak tunggal kesayangannya itu sekiranya gagal menyediakan wang yang cukup sebagai perbelanjaan hariannya. 3 tahun yang lalu, waktu hujan lebat, rumah yang tersergam indah itu hangus terbakar akibat berlakunya litar pintas. Tiada satu pun yang dapat diselamatkan. Ibunya meninggal setahun selepas kejadian itu. Hari ini... tiada lagi rumah yang tersergam lambang kehebatan..yang ada hanyalah sebuah rumah PPRT yang sunyi lambang......

Rumah kedua dan ketiga.. menunggu masa menyembah bumi. Tumbuhan liar merangkak menuju ke atap. Warisnya tidak diketahui. Hilang begitu sahaja seperti hilangnya kemewahan ibu dan bapa mereka dahulu. Rumah keempat, disewa oleh sahabat masa kecilku. Dapur rumah sudah dirobohkan atas faktor keselamatan. Menurut sahabatku itu, pemiliknya sudah lama meninggal dunia. Isterinya pula tinggal lama di hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. Dia juga sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun selepas sembuh daripada penyakit jiwanya. Dua anak lelakinya berada di Pusat Serenti, Perlop, Sg Siput. Manakala yang perempuan mengikut suami masing-masing ke bandar. Rumah yang kelima ... rumah usang dan tanahnya kini dalam proses menjadi milikku !!  

Barangkali inilah yang dipanggil roda kehidupan. Kemewahan dan kesenangan hari ini sesungguhnya hanya pinjaman. Usah berbangga diri. Pujuklah hati agar sentiasa bersyukur dan merendah diri. Pada yang kurang berada harus sangat-sangat dihormati. Mereka yang kaya  jarang menghormati penghormatan kita. Mereka pedulikan penghormatan daripada golongan yang setara dengan mereka. Pastikan apa yang kita peroleh adalah daripada sumber yang bersih dan halal...Aku ulangi.. pastikan bersih dan halal !! Kerana sebahagian daripada kemewahan dan kesenangan yang kemudiannya hilang seperti yang telah kuceritakan tadi ada kaitannya dengan masalah sumber....wallah hu'alam...


1 ulasan:

tinuj berkata...

Salam yop,
Ceghite hei nengok tv seakan same je guih dedulu. Seingat teman selain ceghite combat ade ceghite samurai, oghang2 tue tetuenye minat gusti,oghang pempuannye minat ceghite melayu. Ish,ish meghempat le meghate ghomah oghang nengok TV di ghomah oghang yang beghade. tak dapat dibayangkan betape dhaifnye kite ketike itu.